Keselamatan, kesihatan murid jadi keutamaan

9 Sep 2026 - 6:56am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

 

TUNGKU GADONG, Selasa, 8 September. – Demi memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di semua institusi pendidikan Negara Brunei Darussalam (NBD) terus berjalan lancar susulan keadaan berjerebu yang menjejaskan kualiti udara di negara ini, semua institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini kembali melaksanakan operasi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

 

Pelaksanaan berkenaan melibatkan semua sekolah rendah, sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah ugama, sekolah Arab dan institut tahfiz di bawah kawalan KHEU, setelah sebelum ini melaksanakan Pembelajaran Berasaskan Rumah (Home Based Learning – HBL) bagi tempoh tertentu.

 

Sehubungan itu, berdasarkan tinjauan Pelita Brunei di Sekolah Rendah Katok ‘A’, Kluster 4, sebagai salah sebuah sekolah rendah kerajaan di NBD pagi tadi telah menyaksikan pihak sekolah turut meletakkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah sebagai keutamaan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan bersyarat sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak-pihak berkuasa yang berkaitan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara masih mengalami situasi jerebu.

 

Dalam temu bual bersama Guru Besar Sekolah Rendah Katok ‘A’, Dayang Norshidah binti Haji Mohd Noor, beliau menjelaskan bahawa pihak sekolah akan sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan mengambil tindakan yang bersesuaian berdasarkan keadaan semasa.

 

“Aktiviti luar seperti perhimpunan, Pendidikan Jasmani, sukan dan aktiviti kokurikulum akan dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke ruang tertutup sekiranya keadaan udara tidak mengizinkan. Di samping itu, pihak sekolah turut sentiasa memastikan bilik darjah berada dalam keadaan yang selesa dan terlindung daripada pendedahan jerebu. Pintu dan tingkap akan ditutup apabila diperlukan, manakala kebersihan bilik darjah dan kawasan sekolah akan diberikan perhatian yang lebih,” tegasnya.

 

Dalam pada itu, Dayang Norshidah turut berkata perhatian khusus juga diberikan kepada golongan murid yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma yang mana guru-guru diminta sentiasa peka terhadap sebarang tanda ketidakselesaan atau masalah kesihatan yang dialami oleh murid-murid mereka dan mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan.

 

Tambahnya lagi, pihak sekolah juga akan memastikan komunikasi dengan ibu bapa atau penjaga sentiasa berjalan dengan baik, khususnya sekiranya terdapat perubahan dalam aktiviti persekolahan akibat keadaan jerebu.

 

“Dalam masa yang sama, pihak sekolah akan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran terus berjalan dalam suasana yang selamat, kondusif dan terkawal. Sebarang perubahan atau arahan selanjutnya akan dilaksanakan berdasarkan panduan dan arahan pihak berkuasa yang berkaitan. Keselamatan dan kesejahteraan murid adalah tanggungjawab kita bersama,” ujar beliau.

 

Sementara itu, ketika mengimbas kembali pelaksanaan HBL sebelum ini bagi mengetahui tindakan segera yang dilaksanakan oleh guru-guru setelah menerima arahan untuk melaksanakan HBL oleh pihak atasan, Dayang Taibah binti Haji Tamam selaku guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris bagi Tahun 4 sekolah berkenaan menjelaskan, perkara utama dengan memastikan ibu bapa atau penjaga dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp mengenai pelaksanaan HBL dengan pemberian Pek Pembelajaran di Rumah (Home Learning Pack - HLP) di samping berusaha memastikan pembelajaran tetap berjalan seperti biasa.

 

“Begitu mustahak ditekankan juga semasa menghadapi situasi sebegini, kami para guru sentiasa memastikan bahan-bahan pembelajaran mempunyai kesinambungan dengan pelajaran sebelumnya supaya mudah difahami oleh murid-murid kami. Selain itu, pemberian tugasan yang diberikan turut dinilai agar tugasan itu boleh dibuat oleh murid-murid dengan hanya memerlukan pemantauan yang minimum daripada ibu bapa atau penjaga mereka ketika di rumah,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Dayang Taibah turut meluahkan kata-kata nasihat dan harapan khususnya kepada murid-murid dan juga para ibu bapa atau penjaga dalam sama-sama bekerjasama dan mematuhi sebarang SOP demi menjaga kesejahteraan bersama dalam kita berdepan situasi terdesak sebegini.

 

Beliau menasihatkan murid-murid supaya menganggap HLP sebagai satu bentuk pembelajaran yang penting meskipun dilaksanakan dari rumah masing-masing, di samping memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya dengan menggunakan jadual waktu belajar harian di sekolah sebagai panduan.

 

“Janganlah membazirkan masa dengan bermain ‘game’ dan sebagainya walaupun berada di rumah masing-masing. Siapkan setiap tugasan dengan teliti dan jangan malu bertanya kepada guru melalui aplikasi WhatsApp.

 

“Kepada golongan ibu bapa atau penjaga, saya amat menghargai kerjasama dan sokongan yang diberikan dan membantu anak-anak mengikuti pembelajaran di rumah. Saya begitu berharap ibu bapa atau penjaga dapat membantu memastikan anak-anak berada dalam persekitaran yang sesuai untuk belajar di samping memantau tugasan dan kehadiran mereka mengikut kemampuan masing-masing. Begitu juga kita perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan dengan mematuhi SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” ujar Dayang Taibah pada akhir temu bual.

 

Sekolah Rendah Katok ‘A’ mula beroperasi pada November 2007 dengan jumlah keramaian murid sebanyak 461 orang secara keseluruhannya pada masa ini. Manakala seramai 46 orang guru dan 12 orang kakitangan yang sedang bertugas di sekolah tersebut.