Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 November. – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd. memeterai kerjasama strategik bagi memperkukuh pengkomersialan hasil penyelidikan, menyokong keusahawanan berasaskan teknologi serta membuka peluang kepada para penyelidik dan inovator UBD untuk menjalinkan hubungan dengan rakan industri di peringkat serantau.
Kerjasama berkenaan dimeterai menerusi penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Inspiring Hall, UBD, sekali gus menggabungkan keupayaan penyelidikan universiti serta bakat keusahawanan baharu dengan kepakaran Leave a Nest Malaysia dalam pendidikan sains dan teknologi, pembangunan penyelidik serta sokongan kepada syarikat pemula (startup).
Menerusi rangkaian antarabangsa Leave a Nest Group, para penyelidik, pelajar dan usahawan UBD berpeluang meneroka jaringan kerjasama dengan pakar industri, syarikat serta komuniti penyelidikan di seluruh Asia Tenggara, Jepun dan negara-negara lain.
Di bawah kerjasama yang dicadangkan, kedua-dua pihak berhasrat meneroka pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan inovasi bersama, pemadanan antara pihak industri dengan penyelidik serta pelbagai inisiatif bagi menterjemahkan hasil penemuan penyelidikan yang berpotensi kepada aplikasi praktikal.
Tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha memperkukuh laluan pemindahan teknologi, pembangunan bukti konsep (proof-of-concept), penubuhan syarikat pemula serta pengkomersialan hasil penyelidikan.
Ini termasuk memudah cara penglibatan secara bersasar antara para penyelidik dengan rakan industri, di samping menyediakan peluang bagi pembentangan teknologi, bimbingan serta penilaian potensi komersial.
Melalui pelbagai aktiviti tersebut, kedua-dua belah pihak juga berhasrat untuk meneroka potensi aplikasi industri, pelaksanaan projek perintis, pelesenan teknologi serta pembangunan syarikat pemula yang berasaskan hasil penyelidikan.
Dengan menghubungkan kekuatan penyelidikan UBD kepada keperluan industri dan kepakaran keusahawanan, kerjasama berkenaan diharap dapat memajukan pengkomersialan hasil penyelidikan, menggalakkan pembangunan perusahaan berasaskan sains serta memupuk bakat inovasi tempatan.
Usaha tersebut adalah selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memperkukuh keupayaan tempatan dalam pembangunan teknologi, melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berinovatif serta menyokong pertumbuhan industri berasaskan pengetahuan.
Melalui pembangunan inovasi tempatan dan teknologi yang berdaya maju dari segi komersial, kerjasama itu juga dihasratkan dapat menyumbang kepada usaha jangka panjang Negara Brunei Darussalam dalam mempelbagaikan ekonomi serta membangunkan ekonomi yang dinamik dan mampan.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Pemangku Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan) UBD, Dayang Hajah Maudena binti Haji Abdul Hamid, bagi pihak UBD; manakala Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Abdul Hakim Sahidi.
Majlis penandatanganan tersebut disaksikan oleh Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle; dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leave a Nest, Dr. Yukihiro Maru.