Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran
REPUBLIK RAKYAT CHINA, Sabtu, 12 September. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC EMM) yang diadakan buat kali ke-16 dari 10 hingga 11 September 2026 di Beijing, Republik Rakyat China.
Mesyuarat APEC EMM pada tahun ini dianjurkan oleh National Energy Administration, Republik Rakyat China dengan tema 'Forge an Innovative and Synergistic Asia-Pacific Energy Community for All' dan memberikan tumpuan kepada tiga sesi tematik, iaitu 'Energy for All', 'AI + Energy' and 'Synergistic Cooperation'.
Dalam ucapan semasa Sesi Pembukaan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga APEC Kali Ke-16, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) menggariskan keutamaan-keutamaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam memperkukuhkan keselamatan tenaga, mengekalkan ketahanan sektor minyak dan gas huluan, membangunkan industri hiliran bernilai tinggi, memastikan bekalan elektrik dan bahan api yang stabil dan terjamin, serta mempercepatkan pembangunan tenaga rendah karbon sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.
Yang Berhormat turut menekankan kepentingan campuran tenaga yang seimbang dan pelbagai, serta pengukuhan kerjasama serantau bagi menyokong masa depan tenaga Asia-Pasifik yang selamat, berdaya tahan dan mampan.
Dalam Sesi Tematik 1: 'Energy for All', Yang Berhormat juga menggariskan kepentingan memastikan keselamatan, mampu milik, kebolehpercayaan dan daya tahan tenaga, di samping memperluaskan akses tenaga kepada semua lapisan masyarakat. Turut diketengahkan, kadar elektrifikasi NBD yang hampir 100 peratus, berserta kepentingan berterusan inovasi, pembangunan infrastruktur dan kerjasama serantau dalam membangunkan sistem tenaga yang mampan.
Mesyuarat APEC EMM kali ini turut mengeluarkan Kenyataan Bersama yang, antara lainnya, menggariskan komitmen untuk membina komuniti tenaga Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik dan berdaya tahan, dan seterusnya memperkukuhkan keselamatan tenaga, mempercepatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta menggalakkan penerapan teknologi tenaga yang inovatif.
Kenyataan Bersama berkenaan turut menekankan keperluan untuk meneruskan kerjasama bagi memastikan akses kepada tenaga yang boleh dipercayai, mampu milik dan lestari untuk semua di rantau Asia-Pasifik.
Di luar mesyuarat tersebut, Yang Berhormat turut mengadakan beberapa perbincangan dua hala bersama rakan sejawat dari negara-negara sahabat, termasuk Administrator of the National Energy Administration (NEA), Republik Rakyat China dan Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga APEC kali ke-16, Tuan Yang Terutama Wang Hongzhi dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri serta Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Puan Yang Terutama Gan Siow Huang, bagi bertukar-tukar pandangan mengenai bidang-bidang kepentingan bersama serta menerokai peluang untuk memperkukuhkan kerjasama tenaga.
Mesyuarat ini merupakan sebahagian daripada kerangka kerjasama serantau APEC yang lebih luas, dengan sektor tenaga merupakan antara bidang keutamaan dalam agenda APEC.
APEC merupakan sebuah forum kerjasama serantau yang ditubuhkan pada tahun 1989 dengan matlamat untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau Asia-Pasifik melalui pengukuhan integrasi ekonomi, kerjasama teknikal serta perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka.
Mesyuarat APEC EMM yang seterusnya akan diadakan di Republik Sosialis Viet Nam pada tahun 2027.