Kerjasama rentas sektor perkukuh keselamatan siber NBD

16 Sep 2026 - 8:15am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

GADONG, Selasa, 15 September. - Persidangan Keselamatan Siber Brunei 2026 (CySec2026) dilancarkan secara rasmi, pagi tadi, dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keselamatan dan daya tahan infrastruktur nasional kritikal dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.

Persidangan selama dua hari yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun itu membawa tema 'Resilient by Design: Protecting Critical Infrastructure' dan dianjurkan bersama Cyber Security Brunei (CSB) serta Brunei Cybersecurity Association (BCSA), dengan sokongan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

CySec2026 menghimpunkan para pegawai kerajaan, pemimpin industri, diplomat, pengamal keselamatan siber, ahli akademik serta pengendali infrastruktur kritikal dari dalam dan luar negara bagi membincangkan cabaran serta perkembangan terkini dalam bidang keselamatan siber.

Pelancaran persidangan berkenaan dirasmikan oleh tetamu kehormat majlis, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, selaku Menteri Yang Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai kerajaan, wakil-wakil korporat serta diplomat asing.

CySec2026 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pesuruhjaya Interim CSB, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis.

Beliau antara lain menjelaskan, landskap keselamatan siber global kini berdepan ancaman yang semakin kompleks termasuk ransomware, serangan serta ancaman terhadap infrastruktur kritikal dan rantaian bekalan. 

Beliau turut menekankan kepentingan diplomasi siber dalam memperkukuh keupayaan negara serta kerjasama antarabangsa. 

Selain itu tambah beliau, pembangunan tenaga kerja merupakan aspek penting dalam memperkukuh pertahanan siber negara termasuk melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan penyedia latihan bagi membangunkan tenaga profesional keselamatan siber yang berkemahiran tinggi.

Majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) serta penyampaian anugerah, selain ucapan khas yang disampaikan oleh Atase Keselamatan Siber bagi Rantau ASEAN di Suruhanjaya Tinggi Kanada di Republik Singapura, Frédéric Margotton.

Tetamu kehormat kemudian mengadakan lawatan ke reruai pameran.

CySec2026 telah memasuki edisi keempat, dengan persidangan dan pameran pada tahun ini menjadi platform yang menghimpunkan pihak kerajaan, industri, akademik, profesional keselamatan siber serta pengendali infrastruktur kritikal bagi membincangkan cabaran dan perkembangan terkini dalam bidang keselamatan siber.

Kepentingan persidangan tersebut adalah selaras dengan kebergantungan Negara Brunei Darussalam (NBD) yang semakin meningkat terhadap sistem digital dalam sektor perbankan, telekomunikasi, penjagaan kesihatan, perkhidmatan kerajaan dan perniagaan, di samping usaha berterusan negara dalam transformasi digital di bawah Digital Brunei 2030.

Mengenai tema pada tahun ini iaitu 'Resilient by Design: Protecting Critical Infrastructure', sektor-sektor kritikal seperti tenaga, utiliti, perbankan dan kewangan, telekomunikasi, penjagaan kesihatan serta perkhidmatan kerajaan semakin beralih kepada sistem digital. Oleh itu, aspek keselamatan dan daya tahan tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara sampingan. 

Sebaliknya, kedua-dua aspek tersebut perlu diterapkan sejak peringkat awal perancangan, reka bentuk dan pembangunan sesebuah sistem selaras dengan aspirasi Digital Brunei 2030.

CySec2026 telah berkembang sejak edisi pertamanya pada tahun 2023 dan kini menjadi antara platform keselamatan siber terkemuka di NBD, dengan lebih 1,200 peserta serta 40 penceramah tempatan dan antarabangsa dijangka menyertai persidangan pada tahun ini.

Edisi kali ini turut diperkukuh dengan CSB sebagai penganjur bersama, BIBD sebagai rakan kongsi rasmi, selain sokongan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta penglibatan rakan strategik, organisasi antarabangsa, institusi akademik dan pemain industri dari dalam dan luar negara.

Kerjasama dan sokongan berkenaan mencerminkan bahawa keselamatan siber merupakan usaha bersama merentasi pelbagai sektor dan sempadan, dan bukannya tanggungjawab sesebuah organisasi semata-mata.

Sebagai sebahagian daripada program, antara topik yang dibincangkan termasuk Critical Infrastructure Cybersecurity, OT/ICS/SCADA Security, Cloud Security, AI for Cyber Defence, Cyber Threat Intelligence, Supply Chain Security, Zero Trust Architecture, dan Incident Response and Cyber Resilience.

Program tersebut turut membincangkan isu semasa seperti ransomware, deepfake dan kejuruteraan sosial, selain menyediakan peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar, pembekal teknologi dan pengamal industri.

Penyertaan antarabangsa merupakan antara kekuatan utama CySec2026, yang memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan pendedahan kepada trend dan amalan terbaik di peringkat serantau dan global menerusi kerjasama dengan organisasi seperti EU CyberNet, OT-ISAC, Cyber-SHIP Lab dan University of Plymouth.

Para peserta turut berpeluang menjalinkan rangkaian serta meneroka teknologi keselamatan siber daripada syarikat-syarikat di NBD dan rantau Asia yang lebih luas di ruang pameran.

CySec2026 bukan sahaja relevan kepada profesional teknologi maklumat dan keselamatan siber, malah turut memberi manfaat kepada para pemimpin organisasi, pembuat keputusan, agensi kerajaan, pengendali infrastruktur kritikal, ahli akademik dan pelajar.

Persidangan tersebut menawarkan pandangan daripada pakar industri, pemahaman mengenai ancaman dan trend semasa, amalan terbaik serta peluang untuk membina rangkaian profesional. 

Bagi pelajar khususnya, persidangan ini memberi pendedahan lebih dekat kepada kerjaya dalam bidang tersebut 

CySec2026 berlangsung selama dua hari, iaitu pada 15 hingga 16 September 2026, di Hotel Antarabangsa Rizqun.

Ia mengetengahkan beberapa sesi persidangan secara serentak yang terdiri daripada pembentangan, diikuti dengan perbincangan panel.

Semasa persidangan tersebut, pertandingan CB:CTF (Capture the Flag) turut diadakan di Aras 8, bersama pameran yang berlangsung sepanjang persidangan.