Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 September. - Badan Ugama Islam (BUI) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan ceramah sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, bertempat di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, yang berlangsung baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin.
Turut hadir, Yang Dipertua Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI), Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong, yang turut sama mendengar ceramah berkenaan bersama pegawai-pegawai kanan, pegawai, anggota pangkat rendah dan kakitangan awam PPDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ceramah yang menyentuh mengenai kepentingan memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai salah satu bentuk kecintaan umat Islam kepada Baginda.
Ceramah turut menekankan keperibadian dan akhlak mulia Baginda sebagai contoh dan panduan dalam kehidupan seharian, di samping nilai pendidikan dan tarbiyah yang terkandung dalam sirah Baginda yang dapat diterapkan dalam membentuk kehidupan berlandaskan rahmat kepada seluruh alam.
Selain itu, ceramah turut menyentuh mengenai amalan berselawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dilakukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, para malaikat dan umat Islam. Kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga merupakan antara asas penting dalam mencapai kecintaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, dengan harapan agar penghayatan terhadap sirah, akhlak dan ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terus dipupuk dalam kehidupan seharian, seterusnya menjadi panduan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan keikhlasan.