Kepentingan tindakan bersepadu melalui usaha diplomasi

26 Sep 2026 - 6:24am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar NegeriFoto: Muhammad Asri Awang Haji Abas

NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT, Khamis, 24 September. – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam (NBD) berangkat menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan semasa Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Sesi Ke-81 bertempat di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen menekankan kepentingan tindakan bersepadu dalam kalangan Negara-negara Ahli OIC melalui usaha diplomasi yang diselaraskan dan penglibatan yang lebih kukuh di PBB, khususnya mengenai Palestin.

Duli Yang Teramat Mulia juga menekankan keperluan untuk menegakkan undang - undang antarabangsa, menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan serta melindungi orang awam.

DYTM seterusnya berangkat menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi Ministerial Global Alliance for the Implementation of the Two-State Solution dan menegaskan semula sokongan NBD terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

DYTM menyeru bagi diadakan gencatan senjata yang kekal, akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan perlindungan orang awam, di samping menekankan keperluan tindakan padu antarabangsa bagi memelihara keutuhan wilayah Palestin dan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.