Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
MOSCOW, Rabu, 25 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat menghadiri Sambutan Negara yang berlangsung di Grand Kremlin Palace, Moscow.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Grand Kremlin Palace dialu-alukan oleh Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin.
Pada majlis tersebut, Kebawah DYMM dan Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia berkenan menyertai sesi bergambar rasmi, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara.
Kebawah DYMM turut disembahperkenalkan kepada ahli-ahli delegasi dari Persekutuan Rusia, manakala Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia diperkenalkan kepada ahli-ahli delegasi Negara Brunei Darussalam.