Kelas Tajwid Al-Quran MSSBRPAD memperingati jasa guru

9 Okt 2026 - 6:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Kelas Tajwid Al-Quran Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit

MADANG / MANGGIS, Khamis, 8 Oktober. - Pendidikan Lestari dengan menuntut ilmu tidak mempunyai had umur kerana semakin lama kita mempelajari sesuatu ilmu ia merupakan satu nikmat.

Tidak terasa kini telah menjangkau 18 tahun kita telah mempelajari Al-Quran dan bukan lagi satu masa yang singkat kerana tidak dinafikan berbagai cabaran yang perlu ditempuhi namun majoriti pelajar terus bertahan.

Wakil pelajar Ahli Kelas Tajwid Al-Quran Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (MSSBRPAD), Awang Haji Ibrahim bin Haji Idi menjelaskan sedemikian semasa Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Guru di masjid berkenaan.

Katanya lagi, majlis berkenaan juga bagi menzahirkan rasa terima kasih atas bimbingan yang diberikan dalam memperbaiki bacaan Al-Quran secara bertajwid. Belia melahirkan rasa kesyukuran dan menghargai jasa guru yang istiqamah yang mencurahkan ilmu Al-Quran kepada pelajar di kelas berkenaan.

Sementara itu, pembimbing Kelas Tajwid Al-Quran MSSBRPAD, Awang Md. Suhnoromardi bin Haji Suhaimi melahirkan rasa bangga atas komitmen para pelajar hadir menyertai kelas berkenaan.

“Sekalipun ketika ‘kitani’ semua sudah berusia, semangat para pelajar untuk terus mendalami ilmu pembacaan dan pemahaman Al-Quran tidak mudah luntur dan berharap ‘kitani’ semua akan dapat mendalami lagi pengetahuan dalam semua aspek dalam kita suci ini,” jelas Awang Md. Suhnoromardi yang membimbing kelas berkenaan setiap selasa di masjid berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dikepalai oleh Awang Haji Ghafor. Pada majlis itu, Awang Md. Suhnoromardi bin Haji Suhaimi telah menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan selaku tenaga pengajar.