Kekuatan hafazan diperkasa dengan kefahaman ‘tadabbur’ berlandaskan akidah

3 Sep 2026 - 7:43am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Rabu, 2 September. - Sesungguhnya kejayaan menamatkan pengajian tahfiz bukanlah noktah akhir, bahkan merupakan permulaan kepada menanai amanah yang lebih besar. Penguasaan pelbagai disiplin ilmu Al-Quran termasuk tajwid, qiraat, tafsir, Ulum Al-Quran dan ‘tadabbur’ merupakan khazanah keilmuan yang amat bernilai bagi membina masyarakat celik Kalamullah.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda demikian pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Ke-14 Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), hari ini.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah inayah, rahmat serta taufik-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama berhimpun dalam suasana yang penuh keberkatan ini, bagi menyempurnakan Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-14.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Kejayaan ini adalah hasil daripada keutuhan iltizam, ketekunan serta istiqamah sepanjang menempuh proses pembelajaran yang menuntut kesabaran dan pengorbanan yang tinggi.

Duli Yang Teramat Mulia juga merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada para ibu bapa dan penjaga atas doa dan sokongan murni serta barisan tenaga pengajar dan seluruh warga institut atas curahan bimbingan yang amat bernilai.

“Majlis pada hari ini, merupakan peristiwa bersejarah dalam perkembangan institut, dengan meraikan seramai 38 penerima syahadah daripada pengambilan sulung Program Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat sesi kemasukan tahun 2023.

“Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan institut dalam memperkasa bidang pengajian Al-Quran agar sentiasa berkembang selaras dengan keperluan negara, khasnya dalam melestari tradisi keilmuan Islam yang muktabar,” sabda DYTM.

Sabda DYTM lagi, para graduan berpotensi besar untuk memperluas peranan sebagai huffaz profesional yang berdaya saing, berpaksi kepada tradisi keilmuan yang dipelihara turun-temurun serta mampu berdikari membawa penghayatan nilai Al-Quran dalam pelbagai lapangan kehidupan demi pembangunan ummah.

Pada hemat DYTM, dalam melestarikan kecemerlangan bidang ini, pembangunan profesional tenaga pengajar harus diberikan perhatian yang sewajarnya. Ini merangkumi membuka ruang dan peluang bagi mereka mempertingkat kelayakan akademik, memperluas budaya penyelidikan, serta menghasilkan karya ilmiah berwibawa, khususnya dalam memperkukuh kurikulum pengajian Al-Quran negara.

“Perkara ini bertepatan dengan titah paduka ayahanda semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara 1446H, bahawa antara harapan tinggi negara adalah untuk melihat ‘guru-guru yang berkaliber, khasnya guru-guru Al-Quran yang mampu untuk melahirkan generasi cemerlang dalam bidang Al-Quran’, di samping memberi jaminan bahawa kerajaan baginda akan sentiasa memberi keutamaan kepada bidang pengajian Al-Quran,” sabda DYTM lagi.

Sehubungan itu, sabda DYTM menegaskan, kekuatan hafazan wajib disempurnakan dengan kefahaman ‘tadabbur’ yang sahih berlandaskan akidah Ahli Sunnah Waljamaah, agar kita sentiasa terhindar daripada fahaman yang menyimpang. Penghayatan Al-Quran melalui tilawah yang tartil, ‘ta’lim’ dan ‘tazkiyah’ berupaya membentuk sahsiah huffaz sebagai ‘qudwah hassanah’, iaitu contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

DYTM seterusnya bersabda, dalam mendepani arus pemodenan, kemajuan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai wahana bantu penyebaran ilmu dan bukan sebaliknya. Walau bagaimanapun, kecerdasan buatan tidak sesekali dapat menggantikan keutamaan guru, kerana kaedah ‘talaqqi’ dan ‘musyafahah’ kekal sebagai asas mutlak dalam memelihara keaslian sanad bacaan dan kefahaman Al-Quran.

Pada masa yang sama, sabda DYTM lagi, aspek pembangunan insan tidak boleh diketepikan. Pemerkasaan kemahiran insaniah melalui latihan peningkatan keupayaan, termasuk jalinan kerjasama strategik bersama Pusat Pembangunan Belia, amat bertepatan bagi melahirkan graduan yang memiliki daya kepimpinan, semangat kerja berpasukan serta ketahanan diri yang kukuh dalam mendepani realiti pasaran kerjaya.

Justeru, DYTM menyeru para graduan agar terus memelihara hafazan, memperkaya khazanah ilmu dan menjunjung tinggi adab Al-Quran dalam apa jua bidang yang diceburi. Bawalah amanah ini sebagai penjaga kalamullah yang memartabatkan syiar Islam demi merealisasikan hasrat murni paduka ayahanda membangunkan sebuah Negara Zikir.

“Sebagai penutup, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan serta keluarga dan ucapan terima kasih kepada Ahli Lembaga Institut serta seluruh Jawatankuasa Pengelola Majlis.

“Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan taufik dan hidayah-Nya, memberkati para graduan dengan kekuatan untuk terus memelihara hafazan, memperkukuh keilmuan serta kekal istiqamah berbakti demi agama, raja, bangsa dan negara. Semoga segala usaha murni semua pihak yang menjayakan majlis ini dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda,” sabda DYTM.