Keindahan flora diserlahkan melalui Pertunjukan Seni Landskap, Bunga-bunga Hidup 2026

30 Og 2026 - 9:08am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Ogos. - Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, dengan sokongan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Brunei bagi tahun kedua, menganjurkan Pertunjukan Seni Landskap dan Bunga-bunga Hidup 2026 di Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar, Berakas.

Pertunjukan Seni Landskap dan Bunga-bunga Hidup 2026 berkenaan mengetengahkan pelbagai seni landskap kreatif, pertunjukan flora, tanaman hiasan, serta pengalaman yang menarik buat para pengunjung.

Sehubungan itu, Majlis Perasmian Pertunjukan Seni Landskap dan Bunga-bunga Hidup 2026 dirasmikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu kehormat majlis dan turut disertai oleh isteri Menteri Pembangunan, Datin Fadzlin binti Haji Hashim.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Hifzhuddin bin Lamudin, sebelum diteruskan dengan upacara perasmian pertunjukan.

Sejurus selepas itu, acara diteruskan dengan sesi lawatan ke taman-taman bertema dan pameran khusus mempamerkan teknik pemilihan serta susun atur tanaman mengikut kesesuaian tapak dan konsep reka bentuk.

Bagi memeriahkan lagi edisi tahun ini, beberapa elemen landskap baharu serta sistem pencahayaan landskap telah diperkenalkan bagi menyerikan suasana taman pada waktu malam. Sebahagian daripada landskap yang dibangunkan pada tahun ini juga merupakan landskap kekal.

Turut hadir pada acara berkenaan, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Ketua-ketua Perwakilan Asing ke Negara Brunei Darussalam, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, ketua-ketua jabatan, divisyen, dan unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Acara berkenaan juga turut disokong oleh Jabatan Perhutanan dan dijayakan oleh rakan-rakan kongsi rasmi, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Muara Port Company Sdn. Bhd., K.N. Nursery (B) Sdn. Bhd. dan Imagine Sdn. Bhd. selaku rakan telco rasmi bagi acara berkenaan.

Orang ramai dijemput hadir berkunjung ke pertunjukan berkenaan bermula pada Sabtu, 29 Ogos 2026 hingga Ahad, 6 September 2026 dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam bertempat di Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar dan kemasukan adalah percuma.

Dalam pada itu, para pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai spesies tanaman, produk berkaitan berkebun, dan perkhidmatan landskap daripada vendor hortikultur dan landskap yang terlibat. Pelbagai pilihan reruai makanan dan minuman, ‘food truck’ dan ‘pop-up café’ turut disediakan.

Pihak penganjur juga turut mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama menyokong gaya hidup yang mampan dengan membudayakan amalan membawa beg guna semula semasa mengunjungi acara berkenaan.