Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Usuluddin telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Dekan, Pembubaran Ahli Jawatankuasa Badan Pelajar Usuluddin (BadrU) Sesi 2025/2026 serta Pelantikan Ahli Jawatankuasa BadrU Sesi 2026/2027.
Majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan akademik para pelajar serta sumbangan dan komitmen barisan kepimpinan pelajar sepanjang sesi 2025/2026, di samping merasmikan pelantikan kepimpinan baharu BadrU bagi sesi 2026/2027.
Seramai 31 pelajar Fakulti Usuluddin menerima Anugerah Dekan atas pencapaian akademik cemerlang bagi Semester 1 dan Semester 2, Sesi Akademik 2025/2026.
Pada majlis yang sama, seramai 20 Ahli Jawatankuasa (AJK) BadrU Sesi 2025/2026 diraikan atas khidmat dan komitmen mereka sepanjang menjalankan amanah, manakala 20 AJK baharu telah dilantik bagi meneruskan kepimpinan BadrU untuk sesi 2026/2027.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Profesor Madya Dr. Anis Malik Thoha.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Unit Keagamaan dan Kerohanian, BadrU Sesi 2025/2026, Awang Muhammad Yusri bin Yusuf, sebelum diteruskan dengan ucapan tausiyah oleh tetamu kehormat majlis serta penyampaian Anugerah Dekan kepada para penerima.
Acara turut diserikan lagi dengan tayangan video imbasan aktiviti BadrU Sesi 2025/2026 dan ucapan daripada Presiden BadrU Sesi 2025/2026, Awangku Muhammad Aqil Harraz bin Pengiran Haji Muhamad Japar.
Majlis kemudiannya menyaksikan pembubaran rasmi AJK BadrU Sesi 2025/2026 serta pengumuman pelantikan AJK BadrU Sesi 2026/2027.
Presiden BadrU yang baharu, Awang Mohammad Adib Hazim bin Mochsin, turut menyampaikan ucapan mewakili barisan kepimpinan baharu.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ketua Unit Keagamaan dan Kerohanian, BadrU Sesi 2026/2027, Awang Mohd. Shahrul Nizam bin Haji Ismail, bagi memohon keberkatan serta kelancaran perjalanan kepimpinan baharu dan kejayaan berterusan para pelajar Fakulti Usuluddin.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.