JPMC ketengahkan NBD sebagai destinasi penjagaan kesihatan

19 Sep 2026 - 6:57am

Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Medical Centre

JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, 18 September. - Jerudong Park Medical Centre (JPMC) terus memperkukuh usaha dalam meningkatkan kehadiran Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan perubatan di Republik Indonesia melalui penyertaannya pada Jerayawara Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027 Roadshow) yang berlangsung di Kota Kasablanka, Jakarta, dari 11 hingga 13 September 2026.

Jerayawara berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), bagi mengetengahkan pelbagai produk dan tawaran pelancongan NBD kepada pasaran Republik Indonesia, termasuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.

JPMC diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Neelakannan Periyasamy; Pengarah Perkhidmatan Perubatan Am, Dr. Awang Muhd. Hiza Wardy bin Haji Abdul Halim; serta beberapa wakil rasmi JPMC yang lain.

Penyertaan JPMC dalam Jerayawara berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam bidang pelancongan perubatan bagi meningkatkan kesedaran mengenai NBD sebagai destinasi penjagaan kesihatan, di samping memperkukuh hubungan dalam ekosistem penjagaan kesihatan dan pelancongan serantau.

Sepanjang kunjungan berkenaan, delegasi JPMC turut mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan dan rakan kongsi penjagaan kesihatan di Jakarta bagi membincangkan bidang-bidang kerjasama yang berpotensi dalam pelancongan perubatan.

Perbincangan berkenaan turut meneroka peluang untuk memperkukuh hubungan antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, meningkatkan kesedaran mengenai saluran penjagaan kesihatan yang tersedia serta menyokong akses yang lebih meluas kepada rawatan perubatan khusus di NBD.

Ketua Pegawai Operasi JPMC berkata, Republik Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran penting dalam perkembangan pelancongan perubatan JPMC.

Menurutnya lagi, melalui penglibatan dalam acara seperti Jerayawara VBY 2027, pihaknya bukan sahaja berpeluang mengetengahkan keupayaan penjagaan kesihatan NBD, malah turut membina kerjasama bermakna yang dapat memperkukuh akses pesakit kepada rawatan khusus berkualiti tinggi serta menyokong perkembangan jangka panjang kerjasama penjagaan kesihatan antara NBD dan Republik Indonesia.

Penglibatan berkenaan juga menyerlahkan hubungan yang rapat antara NBD dan Republik Indonesia, khususnya dengan adanya perhubungan udara secara langsung antara Jakarta dan NBD yang memberikan kemudahan akses kepada para pesakit serta ahli keluarga yang mengiringi.

Selain itu, persekitaran NBD yang aman serta kemudahan penjagaan kesihatan bersepadu yang ditawarkan oleh JPMC turut menyumbang kepada potensi negara ini sebagai destinasi bagi pesakit yang memerlukan rawatan perubatan khusus.

JPMC akan terus mengadakan penglibatan bersama rakan kongsi yang berkaitan di Republik Indonesia dan pasaran serantau yang lain sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengembangkan sektor pelancongan perubatan serta memperkukuh peranan NBD dalam landskap penjagaan kesihatan serantau.