Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 September. - Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Ceramah Khas Maulidur Rasul, bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, hari ini.
Hadir selaku tetamu khas bersama ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; dan Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Kampung Rimba, Awang Mohamad Adham bin Hashim, diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Mohammad Ekram 'Afif bin Awang Haji Mohd. Hanafi, Alumni Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan diteruskan dengan penyampaian inti sari daripada Surah Al-Ahzab, ayat 40-48 oleh Awang Ahmad Syaheed bin Haji Amynoor, siswa ITQSHHB.
Ceramah Khas bertajuk 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Cahaya yang Sentiasa Menyinari Ummah' disampaikan oleh penceramah undangan Penolong Pegawai Perkembangan Ugama Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian.
Antara inti pati yang disampaikan ialah peranan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai pembawa cahaya hidayah, serta pentingnya meneladani sifat Baginda dalam berdakwah dengan penuh kesabaran, rahmah dan kebijaksanaan.
Umat Islam turut diseru agar menjadikan ajaran dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai panduan dalam kehidupan bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Majlis diakhiri dengan persembahan Dikir Syarafil Anam yang dibawakan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei. Majlis pada tahun ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Wawasan Brunei, JPM selaku Pengerusi Majlis dengan dikendalikan bersama oleh Biro Mencegah Rasuah dan Jabatan Kehakiman Negara.