Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Ogos. - Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menyertai Ekspo Antarabangsa Sabah (Sabah International Expo-SIE) Ke-11 menerusi Pavilion NBD yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (Sabah International Convention Centre-SICC), Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia, dari 4 hingga 6 September 2026.
Penyertaan selama tiga hari berkenaan akan mengetengahkan acara promosi Brunei Coffee Trail, bersama jerayawara Visit Brunei Year (VBY) 2027.
Acara berkenaan akan menghimpunkan pengusaha kafe kopi dan matcha NBD, penyedia perkhidmatan pelancongan serta pengendali tarikan pelancongan di bawah satu pavilion.
Inisiatif berkenaan memberi peluang kepada para pengunjung dari Sabah untuk menikmati cita rasa NBD, mengenali lebih dekat suasana kafe di negara ini serta merancang kunjungan seterusnya ke NBD.
Susulan sambutan menggalakkan terhadap acara Brunei Coffee Trail yang diadakan di Kota Kinabalu pada Ogos 2025, acara tahun ini kembali dengan lebih banyak tarikan untuk diterokai.
Para pengusaha kafe kopi dan matcha NBD akan mengetengahkan sajian istimewa mereka, manakala penyedia perkhidmatan pelancongan dan pengendali tarikan pelancongan akan memperkenalkan pelbagai destinasi serta pengalaman yang boleh dinikmati para pengunjung di NBD.
Penyertaan berkenaan mencerminkan usaha berterusan JKP dalam memperkukuh kehadiran sektor pelancongan NBD di pasaran serantau, di samping membuka peluang kepada para usahawan dan pengusaha tempatan untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada persiapan berterusan jabatan berkenaan dalam meningkatkan kesedaran dan mencetuskan keterujaan menjelang Tahun Melawat Brunei 2027.
Jerayawara VBY 2027 turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk mendapatkan gambaran awal mengenai tahun pelancongan yang bakal berlangsung.
Ia juga merupakan satu jemputan untuk meneroka semula keunikan NBD, sama ada bagi percutian hujung minggu, aktiviti bersama keluarga, kunjungan berasaskan pengalaman kulinari atau sekadar meluangkan masa untuk berehat sambil menikmati keistimewaan dan daya tarikan tersendiri dari NBD.
Orang ramai yang menghadiri SIE Ke-11 adalah dialu-alukan untuk mengunjungi Pavilion NBD di SICC sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun Instagram rasmi Brunei Tourism di ‘@brunei.tourism’.