JIS raikan kecemerlangan akademik Kelas 2026

29 Og 2026 - 4:50am

Berita dan Foto : Ihsan Sekolah Antarabangsa Jerudong

 

JERUDONG, Jumaat, 28 Ogos. - Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) meraikan pencapaian cemerlang pelajar Kelas 2026 dalam keputusan peperiksaan Peringkat ‘A’, International Baccalaureate (IB) Diploma Programme (IBDP) dan Pearson BTEC International Level 3 Extended Diploma in Creative Media.

Penawaran tiga laluan Sixth Form itu membolehkan para pelajar memilih kurikulum yang bersesuaian dengan kekuatan dan minat masing-masing, di samping mengekalkan tahap pencapaian akademik yang tinggi bagi setiap laluan.

Tahun ini, pelajar A Level mencatatkan keputusan memberangsangkan dengan 47 peratus daripada keseluruhan gred yang diperoleh ialah A* atau A, manakala 69 peratus ialah A*, A atau B.

Seramai 26 peratus pelajar memperoleh sekurang-kurangnya tiga gred A* atau A, meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu.

Joshua Hung, pelajar biasiswa Kementerian Pendidikan, Joel Jai dan Mintong Li memperoleh empat gred A* dalam peperiksaan A Level masing-masing.

Sherlin Gnanarathinam pula memperoleh empat gred A* atau A, selain gred AS Level dalam Further Mathematics.

Turut mencatatkan pencapaian cemerlang dengan memperoleh empat gred A* atau A ialah Sai Ananya, Md. Ilyas bin Haji Ilham Rohaidi, pelajar biasiswa Kementerian Pendidikan, Aaron Kho dan Sara Ng.

Seramai 10 pelajar memperoleh gabungan gred A* atau A dalam tiga mata pelajaran A Level, iaitu Saifullah Abbasi, Farah Alyah binti Abdul Rahman, pelajar biasiswa Kementerian Pendidikan, Abdul Mateen El-Waly bin Fakhruddin, Ayden Zahari bin Abdul Hakeem, Nigel Lim, Shin Khant Lin, Ak. Abdul Hadi Raiyan bin Pg. Dato Paduka Osman, Syed Abd. Rahman Syed Azmal, Grace Taylor dan Nerissa Tan, pelajar biasiswa Kementerian Pendidikan.

Selain itu, 12 pelajar memperoleh gred A dalam tiga mata pelajaran, iaitu Mohammad Danial Aqil Mohammad Aliza, Aiden Ling, Dk. Bazlaa Az-Zahra Pg. Md. Khairul Arifin, pelajar biasiswa Kementerian Pendidikan, Muhd. Danish Luqman Saidin Hidayat, Syasya Amalyna Haji Mohd. Saiful Bahrin, pelajar biasiswa Kementerian Pendidikan, Bertie Scott, Sing Ying Shim, Toby Stevens, Ethan Sumbang, Ampuan Muhd. Shahibul Dzakwan Ampuan Haji Sukarni, pelajar biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama, Lynn Tan dan Muhammad Aydin bin Haji Mohammad Zulazrin.

Sementara itu, pelajar IB Diploma Programme turut mencatatkan keputusan cemerlang apabila majoriti pelajar memperoleh keputusan melebihi purata global, dengan 11.1 peratus berjaya meraih 40 mata atau lebih.

Markah tertinggi sebanyak 43 mata dicatatkan oleh Isla Hallam. Tiga pelajar, Aerial Chen, Dhanushan Chinniah dan Jovan Tang, masing-masing memperoleh 42 mata.

Alisha Dhaniyah Md. Azmi Yusran memperoleh 38 mata, manakala Mohammad Wazif bin Mohd. Faizal dan Ak. Ameer Zaydaan Fayyadh Pg. Md. Hasreen masing-masing memperoleh 35 mata.

Laluan ketiga Sixth Form, Pearson BTEC International Level 3 Extended Diploma in Creative Media, turut mencatatkan keputusan kukuh dengan kohort ketiganya mencapai kadar kelulusan 100 peratus dan tiada pelajar memperoleh gred di bawah Merit.

Seorang pelajar memperoleh keputusan Distinction Distinction Merit (DDM), yang bersamaan dengan ABB pada peringkat A Level dan bernilai 128 mata UCAS Tariff.

Susulan pencapaian berkenaan, pelajar Kelas 2026 menerima tawaran daripada universiti terkemuka di seluruh dunia, termasuk Imperial College London, Stanford University, University of Cambridge, University College London, University of Melbourne, University of Sydney, McGill University, University of Toronto, King’s College London, University of Edinburgh, University of Manchester, University of California Los Angeles, Hong Kong University of Science and Technology, University of Bristol dan New York University.

Executive Principal JIS, Nicholas Sheehan, berkata pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian para pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka di JIS.

Beliau berkata kejayaan akademik merupakan satu aspek penting dalam perjalanan pendidikan para pelajar, namun perkara yang lebih menonjol ialah keperibadian, kepimpinan dan sumbangan positif yang mereka tunjukkan dalam komuniti sekolah.

Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan usaha gigih dan keazaman para pelajar, di samping sokongan berterusan daripada keluarga serta dedikasi pasukan akademik dan kebajikan sekolah.

“Bersama-sama, semua itu menjadi asas kepada pendidikan holistik yang membolehkan setiap pelajar berkembang, mengejar cita-cita dan memberikan sumbangan bermakna kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.