Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 September. - Operasi Kakas Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) 2026 terus giat dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Bandar Seri Begawan (BSB) bagi membendung pesalah-pesalah imigresen di Negara Brunei Darussalam.
Operasi Kakas 103 / 2026 telah dilaksanakan dengan menyasarkan kawasan premis perniagaan di Mukim Berakas ‘A’. Seramai empat warga asing telah diperiksa dan dua daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, BSB bagi siasatan lanjut kerana gagal untuk mengemukakan dokumen yang sah sepertimana yang diperuntukan di bawah Bab 55(4)(a)(b)(c), Akta Imigresen, Penggal 17.
JIPK turut mengongsikan dua sesi pendakwaan yang telah dijalankan iaitu Heryawati Qurbania, seorang perempuan warganegara Indonesia berumur 46 tahun mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah Pas Imigresen mansuh. Heryawati Qurbania dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan berkuat kuasa pada 16 September 2026.
Sesi pendakwaan terhadap Abdul Aziz, seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 32 tahun adalah merupakan kes peralihan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei. Abdul Aziz dijatuhkan hukuman bagi tiga kesalahan yang mana dua pertuduhan adalah di bawah Bab 379, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 atas kesalahan mencuri yang membawa kepada hukuman penjara selama 24 bulan dan kemudiannya dikurangkan kepada 16 bulan.
Pertuduhan ketiga adalah di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 kerana tinggal lebih masa di negara ini setelah Pas Imigresen mansuh yang membawa kepada hukuman penjara selama lima bulan dan tiga sebatan.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga kesalahan tersebut telah membawa kepada hukuman pemenjaraan selama 21 bulan dan tiga sebatan yang dijalankan secara berturut-turut dan berkuat kuasa mulai tarikh individu ditangkap iaitu pada 8 September 2026.
Bagi sebarang maklumat kesalahan di bawah JIPK, sila hubungi Talian Hotline Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang di talian +673 8734888 / +673 8753888 (BSB) / +673 8984111 (Kuala Belait).