ISB CIL sedia sokongan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas

16 Sep 2026 - 7:51am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

SUNGAI HANCHING, Selasa, 15 September. – Pusat Pembelajaran Inklusif (Centre for Inclusive Learning - CIL) Bandar, Sekolah Antarabangsa Brunei (International School Brunei - ISB) bertempat di Kampung Sungai Hanching dibuka secara rasmi hari ini.

Penubuhan ISB CIL Bandar merupakan susulan daripada penubuhan ISB CIL yang telah menerima pengiktirafan dan anugerah di Panaga, Kuala Belait pada Januari 2021. Dengan misi untuk membimbing pelajar yang mempunyai cara pembelajaran yang berbeza dalam persekitaran yang holistik dan positif, ISB CIL merupakan sebuah pusat pendidikan khusus yang menawarkan sokongan bertaraf dunia kepada kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan pusat berkenaan, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Turut hadir adalah daripada Ahli Lembaga Pengarah ISB, iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah, Nicholas King; Awang Haji Rashid bin Abdul Razak dan Roy David Kurian.

Terdahulu, Pengetua Eksekutif ISB, Encik Dominic Morley dalam ucapan alu-aluannya berkata, hari ini, ISB mencatatkan satu pencapaian penting dan yang lebih utama, bagi kanak-kanak serta keluarga yang kami berikan perkhidmatan.

Menurutnya lagi, pusat berkenaan mencerminkan komitmen ISB untuk memastikan setiap kanak-kanak berpeluang untuk belajar, menjadi sebahagian daripada komuniti dan berkembang maju.

Inklusiviti ini jelasnya lagi, bukan sekadar sesuatu yang kami tawarkan kerana ia merupakan sebahagian asas daripada identiti kami. Di keempat-empat kampus ISB, kami berusaha untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran di mana setiap pelajar berasa dihormati, diberi cabaran yang sesuai dan mendapat sokongan yang diperlukan.

"ISB berbangga dapat menjadi sebuah komuniti sekolah yang inklusif dan komitmen ini diperkukuhkan melalui dua Pusat Pembelajaran Inklusif khusus kami, yang menyediakan kepakaran tambahan serta sokongan yang diperibadikan kepada pelajar dengan keperluan pembelajaran yang pelbagai.

"CIL yang baharu ini merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan tersebut. Ia menyediakan kemudahan khusus, kakitangan yang berdedikasi, serta peluang kepada para pelajar untuk membina keyakinan diri, berdikari, kemahiran komunikasi dan mencapai kejayaan dalam bidang akademik," ujarnya lagi.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara memotong reben oleh tetamu kehormat majlis bersama Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah ISB, sekali gus menandakan pembukaan rasmi ISB CIL Bandar.

Upacara berkenaan kemudiannya diteruskan dengan pelbagai persembahan oleh para pelajar ISB CIL serta kampus utama ISB.

Tetamu kehormat majlis, Lembaga Pengarah ISB dan para tetamu jemputan yang lainnya, berkesempatan untuk mengikuti lawatan ke kemudahan ISB CIL Bandar yang dilengkapi dengan sumber dan kemudahan khusus yang sangat baik.

Diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai TES Specialist Provision Provider of the Year 2025, ISB CIL menyediakan program khusus yang disesuaikan dengan kekuatan, keperluan dan perjalanan pembelajaran setiap kanak-kanak.

Pasukan ISB CIL yang terdiri daripada tenaga pengajar yang berdedikasi dan sangat berpengalaman memastikan keperluan setiap pelajar dipenuhi dalam suasana pembelajaran yang menyokong, di samping memupuk kecemerlangan dan mencetuskan potensi minda.

ISB CIL Bandar membawa perkhidmatan pendidikan khusus ISB yang telah menerima pengiktirafan dan anugerah kepada keluarga-keluarga di Daerah Brunei dan Muara, dengan menyediakan sokongan yang diperibadikan bagi membolehkan setiap pelajar berkembang dan mencapai kecemerlangan dalam aspek akademik, sosial dan emosi.