Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 17 September. - Seksyen Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan terus memperketat tindakan undang-undang ke atas kesalahan pembuangan sampah di tempat awam demi memelihara kebersihan dan persekitaran di ibu negara.
Dalam tindakan penguatkuasaan yang dijalankan pada 19 Ogos 2026, pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas terhadap satu kes pelanggaran di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30), Bab 12(1) iaitu seorang warga tempatan, Pengiran Muhammad Hakim Aqmar Syazzryn bin Pengiran Ainul Airin dikenakan kompaun BND100 setelah didapati membuang sampah di kawasan letak kereta awam Jalan Residency, Bandar Seri Begawan berdekatan Sungai Lampai.
Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan ingin mengingatkan orang ramai, dan pengguna-pengguna letak kereta awam, bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30) jika sekiranya kebersihan alam sekitar tidak dijaga bersama, yang mana denda maksima, jika didapati sabit kesalahan, adalah sebanyak BND30,000, dihukum penjara tidak melebihi tempoh 12 bulan, atau keduanya sekali.
Orang ramai adalah disarankan supaya tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap, cecair dan sisa perniagaan di sebarang tempat awam.
Orang ramai dialu-alukan untuk mengemukakan aduan atau berkongsi maklumat jika sekiranya mendapati pesalah yang melanggar peraturan ini melalui nombor talian Hotline Seksyen Penguatkuasaan +673 7291122.