Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 September. - Kebelakangan ini, keadaan jerebu yang melanda negara telah menimbulkan pelbagai kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.
Namun di sebalik keresahan berkenaan, terdapat satu langkah bijaksana yang telah diambil oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terus terpelihara, iaitu Pembelajaran Berasaskan Rumah (Home Based Learning-HBL) bagi pelajar sekolah.
Keputusan untuk melaksanakan HBL berkenaan bukanlah sesuatu yang dibuat secara terburu-buru, tetapi ia adalah hasil pemantauan berterusan terhadap tahap kualiti udara serta penilaian risiko kesihatan yang mendalam, terutamanya terhadap golongan kanak-kanak yang lebih mudah terdedah kepada kesan negatif jerebu.
Apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan tahap tidak sihat, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengutamakan kesihatan pelajar daripada segala-galanya dan di situlah HBL memainkan peranan yang sangat penting.
Apa yang menarik tentang pelaksanaan HBL kali ini ialah pendekatannya yang fleksibel dan inklusif.
Pelajar boleh mengikuti pembelajaran secara dalam talian dari rumah masing-masing, manakala bagi mereka yang tiada akses kepada peranti atau internet, kaedah Pek Pembelajaran di Rumah (Home Learning Pack-HLP) turut disediakan.
Ini bermakna tiada seorang pun pelajar yang akan ketinggalan dalam usaha menimba ilmu, walaupun dalam situasi yang tidak diingini.
Pendekatan berkenaan membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius dalam memastikan pendidikan terus berjalan tanpa mengorbankan kesihatan generasi muda.
Peranan ibu bapa dalam tempoh HBL berkenaan juga amat signifikan kerana mereka bukan sahaja menjadi pemantau pembelajaran anak-anak di rumah, malah turut memainkan peranan sebagai penyokong emosi di saat keadaan sekeliling mungkin menimbulkan keresahan.
Justeru, kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, dan kerajaan amat diperlukan agar matlamat HBL untuk menjaga kemaslahatan pelajar dapat dicapai dengan jayanya.
Sudah tentu, HBL bukanlah sesuatu yang asing bagi kita kerana pengalaman terdahulu semasa pandemik COVID-19 melanda dunia, ia mengajar kita bahawa pendidikan boleh diteruskan dalam pelbagai bentuk dan kaedah, asalkan komitmen dan kerjasama semua pihak ada.
Yang penting, kesihatan dan keselamatan pelajar tidak boleh diambil mudah demi apa jua sebab sekalipun.
Kesimpulannya, HBL adalah satu pelan tindakan yang bukan sahaja menjaga kemaslahatan pelajar, malah melambangkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan terhadap masa depan generasi negara.