Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Adzrie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 September. - Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya diadakan petang tadi bertempat di Dewan Serbaguna, KHEDN.
Majlis anjuran Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan itu dihadiri oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Hafiz Nur Adib bin Haji Abdul Manaf.
Acara kemudiannya diteruskan dengan Ceramah Khas sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang bertajuk 'Menghayati Sirah, Menyuburkan Aqidah' disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, KHEU, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Ceramah antara lain mengajak orang ramai untuk menghayati sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta mengambil iktibar daripada akhlak, perjuangan dan kepimpinan Baginda dalam memperkukuhkan keimanan dan menyuburkan aqidah.
Majlis turut diserikan dengan Persembahan Dikir Marhaban oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan.
Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam kalangan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung; Setiausaha-setiausaha Tetap, KHEDN; ketua-ketua jabatan; penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung; serta pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.