Hayati, amalkan falsafah MIB dalam kehidupan

27 Nov 2026 - 8:26am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

TUTONG, Khamis, 26 November. - Forum Daerah-Daerah sempena Majlis Ilmu 2026 bagi Daerah Tutong yang membawa tajuk ‘MIB : Bukan Sekadar Slogan, Ini Cara Hidup Kitani’ telah diadakan hari ini, bertempat di Dewan Ma’had Islam Brunei, di sini.

Forum berkenaan merupakan salah satu pengisian Majlis Ilmu 2026 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Ilmu 2026; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN); Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri; ketua-ketua jabatan dan bahagian; pegawai-pegawai kanan kerajaan; penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta jemputan khas.

Forum yang dihadiri oleh hampir 500 orang itu membincangkan kepentingan penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai panduan dan amalan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam memperkukuh identiti, perpaduan dan jati diri masyarakat Negara Brunei Darussalam (NBD).

Forum berkenaan menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam; Penolong Profesor, Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Pengiran Dr. Khairul Rijal bin Pengiran Haji Abdul Rahim; dan Pegawai Ugama, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Abdul Mu’iid bin Hariel.

Forum dikendalikan oleh Pengarah Pusat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Muhammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa selaku moderator.

Sesi forum turut disusuli dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada para hadirin untuk mengemukakan pertanyaan serta mendapatkan penjelasan lanjut daripada ahli-ahli panel mengenai penghayatan dan pengamalan falsafah MIB dalam kehidupan seharian.

Penganjuran forum berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap falsafah MIB, selaras dengan tema Majlis Ilmu 2026, iaitu 'MIB : Tonggak Kedaulatan Negara'.

Melalui forum tersebut, masyarakat diharap akan lebih memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mengamalkan nilai-nilai MIB, sekali gus memelihara identiti, perpaduan dan kedaulatan NBD.