Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BERIBI, Ahad, 11 Oktober. - Bersempena Sambutan Hari Guru Ke-36 Tahun 2026, di samping mengenang dan menghargai jasa tiga orang guru Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei I yang bersara, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah Sekolah Ugama Kawasan Brunei I telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru bagi Pegawai-pegawai dan Guru-guru Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei I bertempat di Coconut Bay Lodge, Beribi.
Acara petang tadi itu dimulakan dengan persembahan Zainul Quran oleh guru-guru lelaki, diikuti dengan ucapan daripada tetamu khas majlis, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei I, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Halimatul Saadiah binti Haji Wahsalfelah.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian penghargaan dan cenderahati kepada guru-guru yang bersara pada tahun 2025, diikuti dengan persembahan Tausyeh daripada guru-guru perempuan.
Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian penghargaan kepada guru-guru ugama Kawasan Brunei I dalam pelbagai kategori, diikuti dengan cabutan nama bertuah, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Majlis ini bertujuan menghargai sumbangan dan jasa bakti guru-guru dalam mendidik serta membimbing para pelajar, khususnya kepada para guru yang telah bersara, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei I.