Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Ihsan Kementerian Hal Ehwal Ugama
BERAKAS, Ahad, 11 Oktober. - Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, peserta qariah Negara Brunei Darussalam (NBD) telah meraih tempat ketiga pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-66 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 6 hingga 9 Oktober 2026, dengan memperoleh markah sebanyak 90.83 peratus.Dayangku Siti Ummi Syazana bersama peserta qari negara, Awangku Mohammad Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri serta rombongan telah selamat tiba di NBD, petang tadi.
Hadir bagi mengalu-alukan kepulangan rombongan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.Juga hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU serta pengarah-pengarah dan para pegawai kanan KHEU.Ketibaan qari dan qariah negara disambut dengan persembahan Dikir dan pukulan hadrah, diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan Kesyukuran oleh Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.
Kepulangan rombongan turut diiringi oleh Datin Dr. Hajah Rohanita binti Haji Yaakub, selaku ketua rombongan, serta jurulatih, Awang Haji Abd. Hafeiz bin Haji Nuh dan Awang Haji Muhammad Zainul Arifin Redhuan Lubis.