Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah
KAMPUNG SUNGAI AKAR, Ahad, 11 Oktober. - Seramai 200 peserta mengikuti Majlis Khatam Al-Quran Program Murattal Bil Quran dan 1 Minggu 1 Juzuk yang diadakan di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar.
Program berkenaan dibukakan kepada orang ramai dengan tujuan untuk menggalakkan masyarakat agar sentiasa mendampingi Al-Quran serta membudayakan pembacaannya secara istiqamah dalam kehidupan seharian.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong; dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku Penaung Bersama MRSB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar yang diketuai oleh Ketua Imam MRSB, Awang Farhanuddin bin Haji Hassan, yang seterusnya memimpin bacaan surah-surah lazim.
Acara diteruskan dengan bacaan takhtim yang dipimpin oleh Awang Haji Md. Faiezal bin Haji Zainal, diikuti dengan bacaan doa Khatam Al-Quran oleh Awang Md. Helmy bin Haji Jamil.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Raja Isteri.