Memupuk kesedaran kesihatan mental melalui pendekatan holistik

12 Okt 2026 - 8:14am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Oktober. - Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan, dengan kerjasama Al-Riyada Consulting menerusi platform The 'Ilm Journal, telah menganjurkan Forum Kesihatan Mental bertajuk 'Healing the Invisible Wounds' di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Babu Raja, bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Penganjuran bersama ini mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan dalam memperkukuh kerjasama rentas sektor melalui pendekatan holistik yang mengintegrasikan perspektif kesihatan, psikologi dan agama bagi meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat mengenai kesejahteraan mental.

Forum berkenaan mengetengahkan pembentangan ucaptama bertajuk 'Healing the Invisible Wounds' oleh Konsultan Psikologi Organisasi dari Malaysia, Dr. Alizi Alias yang membincangkan cabaran emosi dan psikologi termasuk kesedihan, keresahan dan kemurungan serta kepentingan memahami pengalaman dalaman yang tidak semestinya dapat dilihat oleh orang lain.

Acara diteruskan dengan sesi perbincangan panel 'Hard Conversations for the Heart' yang menghimpunkan empat ahli panel daripada pelbagai latar belakang profesional, iaitu Dr. Alizi Alias; Awang Muhammad Yussof bin Haji Abd. Majid dari Kementerian Hal Ehwal Ugama; Dr. Widad Dato Haji Abdul Aziz dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun Haji Matassan.

Sesi perbincangan tersebut dikendalikan oleh Pengarah UniHEALTH, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Deeni Rudita bin Idris, dengan mengetengahkan perbincangan mengenai kesejahteraan mental daripada perspektif psikologi, kesihatan dan kerohanian.

Selaras dengan tema Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026, 'Lived Experiences Heard : Real Voices, Real Change' atau 'Pengalaman Kehidupan Didengar : Suara Yang Benar, Perubahan Yang Nyata', forum ini turut menekankan kepentingan mendengar dan menghargai pengalaman sebenar individu yang berhadapan dengan cabaran kesihatan mental, di samping menggalakkan penglibatan bermakna mereka dalam membentuk sokongan dan penyelesaian yang lebih responsif terhadap keperluan masyarakat.

Acara ini turut diserikan dengan penyertaan organisasi dan penyedia perkhidmatan sokongan kesihatan mental daripada sektor kerajaan dan bukan kerajaan melalui ruang pameran yang disediakan, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan serta sumber sokongan yang tersedia.

Melalui penganjuran bersama ini, Kementerian Kesihatan terus memperkukuh pendekatan Whole of Nation dengan menggalakkan kerjasama pelbagai pihak dalam meningkatkan literasi kesihatan mental, mengurangkan stigma serta membina persekitaran yang lebih prihatin, inklusif dan menyokong kesejahteraan mental masyarakat di Negara Brunei Darussalam.