Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Rabu, 2 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan berangkat ke Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Ke-14, Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, pagi tadi.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri di JPM.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah di Pusat Persidangan Antarabangsa dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Pengerusi Lembaga ITQSHHB; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar dan Pengetua ITQSHHB, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit serta Ahli-ahli Lembaga dan Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan ITQSHHB.
Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berserta inti sari ayat daripada Surah Al-Fath, bermula ayat 1 hingga 7 dengan bacaan qiraat, riwayat Warsh daripada Imam Nafi’ yang dibacakan oleh graduan Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-14, Awang Muhamad Faiz Najwan bin Muhamad Saleh.
Beliau merupakan penerima Elaun Ujian Tasmie 10 Juz dan aktif mengikuti Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara, dengan meraih naib johan dalam Kategori ‘C’ pada tahun 2021 dan 2022 serta mendapat tempat ketiga dalam Kategori ‘C’ pada tahun 2023 dan mendapat tempat ketiga dalam Kategori ‘D’ pada tahun 2026.
Sementara inti sari ayat dibacakan oleh Awang Muhammad Nur Safwan bin Awang Asli yang juga graduan Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-14. Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota juga berkenan mengurniakan sabda. Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan penganugerahan Syahadah (Sijil) Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat kepada 38 graduan ITQSHHB.
Pengurniaan Syahadah Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat kepada graduan kali ini terdiri daripada 19 siswa dan 19 siswi di mana seramai 28 penerima pangkat Mumtaz (Cemerlang) dan 10 penerima pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik).
Sejurus itu, laungan takbir, tahmid dan selawat dikumandangkan diikuti dengan ucapan wakil graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat, Awang Muhammad Hassanul Jamsyir Ali bin Jais yang merupakan penerima Elaun Ujian Tasmie 30 Juz dan merupakan wakil Negara Brunei Darussalam ke 45th King Abdul Aziz International Competition for Memorization, Recitation and Interpretation of The Quran di Makkah Al-Mukarramah pada tahun 2025M.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie. Seterusnya, DYTM dijunjung untuk berangkat menyaksikan Pameran Perkembangan dan Pencapaian Diploma ‘Aliyah Qiraat yang diadakan di Dewan Muzakarah.
Pameran tersebut mengetengahkan perkembangan serta pencapaian Diploma ‘Aliyah Qiraat sejak penubuhannya, termasuk senarai penerima Sultan’s Scholar, pencapaian para alumni dan graduan yang kini berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan serta pasukan beruniform, di samping penglibatan siswa dan siswi di Pusat Pembangunan Belia dalam pelbagai bidang kemahiran hidup.
Penganugerahan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat Al-Quran kepada para graduan ITQSHHB adalah sebagai pengiktirafan atas kejayaan para siswa-siswi khusus dalam bidang hafazan Al-Quran dan ilmu qiraat sekali gus merealisasikan Visi Institut berkenaan sebagai sebuah institusi tahfiz dan perkembangan Al-Quran yang terunggul di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.
Penubuhan ITQSHHB adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-46 pada 15 Julai 1992.
Pada Jumaat, 8 Rejab 1413H bersamaan 1 Januari 1993M, ITQSHHB secara rasminya ditubuhkan dengan pengambilan pertamanya seramai 45 orang pelajar pertama.
ITQSHHB merupakan sebuah institusi Pengajian Tahfiz Al-Quran di peringkat diploma, peringkat menengah dan pengajian hafazan bagi orang awam dan pengajian hafazan bagi Orang Berkeperluan Khas (Orang Kurang Upaya penglihatan) yang menggabungjalinkan hafazan Al-Quran dan ilmu-ilmu Al-Quran sebagai dasar di samping mata pelajaran yang lain.
ITQSHHB maju setapak lagi dengan penubuhan pertama Program Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat pada bulan Ogos 2010 dan institusi tersebut telah pun melahirkan seramai 38 orang graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat kohort yang pertama. Peratus siswa siswi yang mencapai pangkat Mumtaz adalah sebanyak 73.7 peratus (sesi pengajian 2023 - 2026).
Sementara itu, graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat yang akan melanjutkan pengajian di peringkat tinggi iaitu 23 orang ke Shoubra, Mesir, tiga orang ke Malaysia dan sembilan orang ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali.