Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. – Guru berperanan penting sebagai peneraju perubahan yang membawa pendidikan ke arah kelestarian dan pembaharuan, selaras dengan hasrat Wawasan Brunei 2035, khususnya matlamat melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.
Kemuliaan tugas seorang guru ditekankan berdasarkan tuntutan Al-Quran dan hadis, yang meletakkan kedudukan istimewa bagi golongan berilmu dan yang mengamalkannya. Matlamat sebenar pendidikan dijelaskan bukan sekadar untuk memenuhi minda pelajar dengan ilmu, tetapi turut membentuk akhlak dan sahsiah supaya lahir insan yang bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan agama.
Perkara berkenaan antara yang dijelaskan dalam tazkirah bertajuk 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi' disampaikan oleh Penolong Ra'es III (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Md. Syahiran bin Haji Md. Sofian, dari Surau KUPU SB, dalam menyerikan Munajat Khas Hari Guru anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-248 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 yang diadakan secara maya.
Di samping itu jelasnya lagi, peranan guru sebagai pencetus impak berganda di mana kesan didikan seorang guru tidak terhenti pada seorang pelajar semata-mata, tetapi berterusan merentasi generasi. Kepentingan mempertahankan nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah dan sikap saling menghormati turut ditekankan walaupun zaman dan cabaran semasa terus berubah, dengan kaitannya kepada objektif Maqasid Syariah dalam memelihara kemaslahatan ummah.
Beliau seterusnya menjelaskan, keperluan guru untuk terus relevan dengan inovasi dan teknologi digital termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara beretika, tanpa menggugurkan sentuhan insani (hi-touch) yang menjadi teras profesion keguruan.
"Secara keseluruhannya, peranan guru kekal relevan dan tidak boleh digantikan walau sepantas mana perubahan zaman, malah menjadi semakin penting dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak, dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan," ujarnya lagi.
Antara yang menyertai acara munajat pada petang tadi, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, dari Dewan Utama Kementerian Pendidikan.
Turut serta, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal; Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai, seluruh warga kerja dan pendidik, serta mahasiswa dan mahasiswi, serta para pelajar institusi-institusi pengajian di bawah KHEU dan Kementerian Pendidikan.
Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Setiausaha Tetap, KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Dekan Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Awang Haji Hambali bin Awang Haji Jaili, dari Surau As-Syafi'i, UNISSA.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad dari Surau KUPU SB.
Kemudiannya diikuti dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit dari Musolla institut berkenaan.
Selesai tazkirah, majlis disusuli dengan laungan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar KUPU SB Sesi 2026/2027, Awang Muhammad Nur Razin bin Rosli bersama Mahasiswa KUPU SB berkenaan bersiaran dari Surau KUPU SB.
Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Dekan Fakulti Syariah, UNISSA, Dr. Haji Azme bin Haji Matali dari Surau As-Syafi'i, UNISSA.