Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan
BERAKAS GARISON, Jumaat, 11 September. - Kementerian Pertahanan hari ini mengadakan Forum Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Pahlawan, Berakas Garison.
Hadir pada forum tersebut ialah Setiausaha Tetap (Dasar dan Pentadbiran), Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim dan Datin.
Turut hadir ialah Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera dan Pemerintah Angkatan Bersama serta isteri, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, pengarah-pengarah serta isteri, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta warga Kementerian Pertahanan.
Turut diundang bagi sama-sama mendengarkan forum ialah Ahli-ahli Badan Kebajikan Isteri-isteri ABDB (BAKTI).
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan forum bertajuk ‘Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah.
Forum berkenaan dipengerusikan oleh Guru Ugama, Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Pengiran Fakhrul Syakirin bin Pengiran Haji Zainuddin, selaku moderator.
Kupasan dan huraian forum disampaikan oleh tiga orang ahli panel, iaitu Timbalan Pengarah / Penolong Pensyarah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak; Pengarah Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi, KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman serta Timbalan Pegawai Turus Inspektorat Agama, JAMA’AT, Kapten Mohd Ayza Azrine bin Ayahani.
Melalui tema ‘Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah’, forum ini turut menekankan kepentingan menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai contoh dan pedoman dalam setiap aspek kehidupan dan kekeluargaan.
Penghayatan terhadap ajaran dan akhlak Baginda bukan sahaja menjadi asas kepada pembentukan peribadi Muslim yang beriman dan berakhlak mulia, malah turut berperanan dalam membina keluarga, organisasi dan masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Penganjuran forum ini merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pertahanan dalam menyemarakkan sambutan bulan Rabiulawal yang penuh keberkatan, di samping memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta menghayati sirah, perjuangan dan keindahan akhlak Baginda.