Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
SENGKURONG, Sabtu, 29 Ogos. - Dalam menghidupkan syiar Islam melalui zikir tausyeh, di samping mencungkil bakat dalam kalangan belia dan beliawanis masjid serta menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dengan kerjasama Kumpulan Belia Syababul Iman, Belia Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong mengadakan Pertandingan Lagu-lagu Tausyeh bagi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi dengan tema 'Rasulullah Role Model Pilihan Allah'. Pertandingan diadakan pagi tadi di masjid berkenaan.
Sebanyak 14 buah pasukan, terdiri daripada lapan pasukan belia dan enam pasukan beliawanis, mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Setiap kumpulan terdiri daripada empat hingga lima orang peserta.
Pertandingan ini merupakan kesinambungan daripada pertandingan yang telah diadakan pada tahun sebelumnya dan dihasratkan untuk menjadi salah satu aktiviti tahunan.
Selain itu, penganjuran pertandingan berkenaan dihasratkan dapat memperkukuhkan peranan masjid sebagai pusat perkumpulan dan dakwah, serta menyokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai sebuah Negara Zikir.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd. Aliyani bin Ismail.
Firqah An-Naim Masjid Mengkubau muncul johan bagi Pasukan Lelaki, sementara naib johan disandang oleh Firqah Al Munshidun dari Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong dan tempat ketiga dimenangi oleh Firqah Anwar dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis / Madang.
Bagi pasukan perempuan, Dhafwatul Aisy dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong muncul johan. Sementara naib johan disandang oleh Al Jumanah dari Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong dan ketiga dimenangi oleh Firqah An Nayla dari Masjid Kampung Bengkurong.
Dengan adanya pertandingan ini, pihak penganjur berharap agar ia dapat melahirkan generasi belia dan beliawanis masjid yang berkemahiran dalam membawakan lagu-lagu tausyeh dengan baik dan sempurna, di samping meningkatkan kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta menggalakkan penglibatan golongan belia dalam kegiatan keagamaan di masjid.