Festival ketengahkan, promosi, perkenalkan produk tempatan

27 Og 2026 - 5:53am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

TUTONG, Rabu, 26 Ogos. - Food Festival Tutong 2026 yang bermula hari ini sehingga 30 Ogos 2026 telah membuka tirainya pada malam tadi dengan acara pembukaan Food Festival Tutong 2026 telah diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri yang seterusnya berkesudian menyempurnakan pelancaran Food Festival Tutong 2026.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sebanyak 70 vendor yang terdiri dari pengusaha tempatan telah menyertai acara Food Festival Tutong 2026 yang merupakan salah satu platform bagi menyokong dan memperkasa pengusaha tempatan, khususnya dalam bidang makanan dan minuman.

Selain itu, ia juga merupakan platform untuk memberikan ruang kepada para vendor untuk mengetengahkan, mempromosikan dan memperkenalkan produk serta hasil perusahaan masing-masing kepada masyarakat secara lebih meluas.

Seterusnya, festival berkenaan turut bertujuan membuka peluang kepada para pengusaha tempatan untuk mengembangkan jaringan perniagaan, memperluaskan pasaran serta meningkatkan potensi jualan melalui interaksi secara langsung dengan para pengunjung.

Platform seumpama ini juga memberikan peluang kepada para vendor untuk memperkenalkan produk-produk baharu serta mengetengahkan kreativiti dan keunikan hasil perusahaan tempatan.

Penganjuran festival ini juga mencerminkan usaha dalam menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan perusahaan tempatan, di samping memupuk semangat keusahawanan serta meningkatkan daya saing dalam kalangan pengusaha.