DPMM berkenan berangkat ke BICTA 2026

28 Og 2026 - 8:20am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Khamis, 27 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA), pagi tadi berkenan berangkat ke Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2026 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2026; Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2026; dan Ketua Eksekutif Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Ir. Jailani bin Haji Buntar.

 

Di majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda.

 

Terlebih dahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Awang Besar.

 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

 

Dalam sembah alu-aluan tersebut, Yang Berhormat menekankan peranan BICTA dalam memperkasa ekosistem teknologi dan inovasi negara.

 

BICTA 2026 menerima sebanyak 328 penyertaan, meningkat kira-kira 70 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan minat dan penglibatan yang semakin meluas dalam bidang berkenaan.

 

Yang Berhormat turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah inovasi bukan sahaja dinilai berdasarkan pengiktirafan yang diterima, malah keupayaannya memenuhi keperluan sebenar, meningkatkan produktiviti, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta menjana nilai kepada masyarakat dan ekonomi.

 

 

Sehubungan itu, BICTA akan terus diperkasakan sebagai platform yang membuka peluang kepada penyelesaian berpotensi untuk diuji, dilaksanakan secara lebih meluas dan menembusi pasaran.

 

Usaha berkenaan turut mendukung pencapaian KPI Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam meningkatkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan kepada satu peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), serta pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh warga tempatan dalam bidang sains dan teknologi.

 

Seterusnya, laporan hakim disampaikan oleh Pengiran Khairi bin Pengiran Haji Metussin selaku Ketua Hakim bagi Anugerah BICTA 2026.

 

Majlis disusuli dengan tayangan video ‘Catatan Perjalanan BICTA 2026’ yang memperlihatkan kompilasi aktiviti sepanjang tahun 2026 dan pengalaman para peserta BICTA.

 

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah BICTA 2026 bagi setiap kategori pertandingan, diikuti dengan pengurniaan Anugerah Penaung Diraja BICTA 2026.

 

DYTM seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

 

Sejurus itu, DYTM dijunjung untuk melawat pameran produk para pemenang BICTA 2026, pemenang Negara Brunei Darussalam di Anugerah APICTA 2025 dan penerima Anugerah Perak negara di ASEAN Digital Awards (ADA) 2026.

 

Selain memenangi hadiah wang tunai dan trofi, para pemenang dalam setiap kategori turut berpeluang mewakili negara ke Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) 2026 yang akan diadakan pada penghujung tahun ini di Jakarta, Republik Indonesia.

 

Anugerah APICTA merupakan pertandingan ICT di peringkat antarabangsa yang berprestij dan disertai oleh 14 ahli ekonomi dari rantau Asia Pasifik.

 

Sejak penyertaannya di APICTA pada tahun 2002, Negara Brunei Darussalam setakat ini telah meraih tujuh kemenangan, satu anugerah ‘first runner-up’, lima anugerah ‘second runner-up’ dan 37 anugerah merit.

 

BICTA merupakan pertandingan ICT tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama AITI dan IFB.

 

Pertandingan berkenaan bertujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT dalam kalangan individu, pelajar serta perusahaan tempatan.

 

BICTA turut disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

 

Anugerah BICTA pada tahun ini bertemakan ‘Berinovasi untuk Digital Brunei’, yang memberi penekanan terhadap pemerkasaan inovasi yang inklusif dan mampan bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing serta memacu pertumbuhan ekonomi selaras dengan aspirasi Digital Brunei 2030.