Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Ogos. - Sempena memperingati 25 tahun penubuhan Sekolah Rendah dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), pihak sekolah mengadakan Sambutan Jubli Perak 25 tahun dengan mengadakan majlis Doa Kesyukuran dan membaca Surah Yaa Siin bagi memohon keberkatan dan kelancaran sambutan-sambutan yang akan diadakan dengan tema 'Dibina dengan Dedikasi, Menyemai Wawasan, Menyantun Generasi'.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Penolong Pengarah Urusan (Bahagian Korporat) selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Haji Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad. Turut hadir, Pengetua Sekolah YSHHB, Dayang Hajah Hafizah binti Haji Salat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istigfar dan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Awang Haji Mohd. Saidi bin Haji Hamidi. Seterusnya bacaan Yaa Siin dipimpin oleh Awang Muhammad Syazwanshah bin Razali. Selepas itu, bacaan Tahlil dan doa arwah khusus buat warga sekolah yang telah kembali ke rahmatullah. Bacaan Doa Kesyukuran dibacakan oleh Awang Haji Abdul Hosni @ Haji Muhd. Dzul Husni bin Haji Salim. Doa tersebut dipanjatkan sebagai tanda syukur atas kejayaan sekolah menempuh seperempat abad dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak mulia.
Sementara itu, tetamu kehormat dalam ucapannya menyatakan majlis ini adalah sebagai wadah warga sekolah bermuhasabah dan bersyukur di atas segala nikmat, rezeki dan kejayaan yang dikecapi sepanjang 25 tahun penubuhan sekolah dan seterusnya memohon keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala agar sekolah ini terus cemerlang, diberkati dan menjadi tempat melahirkan pemimpin masa depan yang bersendikan falsafah Melayu, Islam dan Beraja.
Sekolah Rendah YSHHB mula beroperasi pada 10 Syawal 1420 Hijrah bersamaan 17 Januari 2000 Masihi yang kini telah mencapai usia 26 tahun. TASKA YSHHB yang telah genap usia penubuhannya 28 tahun. TASKA mula beroperasi pada 6 Syawal 1418H bersamaan 4 Februari 1998M. Juga hadir dalam majlis tersebut ialah Pengetua Sekolah Menengah, Penolong-Penolong Pengetua, Guru Besar Sekolah Ugama Yayasan, guru-guru kanan, guru-guru, Ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa / Penjaga sekolah, Ketua-ketua Pelajar Tahun 4, 5 dan 6, ahli jawatankuasa majlis dan kakitangan Sekolah TASKA dan Sekolah Rendah YSHHB.