Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Khamis, 27 Ogos. - Majlis Belia Daerah Tutong (MBDT) pada petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80, bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Belia Brunei, Ahli Penasihat MBDT, Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi MBDT, Yang Dipertua persatuan-persatuan gabungan MBDT serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir persatuan-persatuan gabungan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dikepalai oleh Ketua Biro Ugama MBDT, Awang Zulkifli bin Johari.
Dalam ucapan alu-aluan, Naib Yang Dipertua MBDT, Awang Ahanapi bin Haji Mahadi, menjelaskan bahawa majlis tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80.
Beliau seterusnya memanjatkan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan dan dipanjangkan usia, sentiasa berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.