Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT, Rabu, 23 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam, berangkat menghadiri Acara Triti sempena Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-81 bertempat di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen menyerahkan Instrumen Ratifikasi Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Konvensyen Undang-Undang Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Pemuliharaan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Marin di Kawasan Luar Bidang Kuasa Kebangsaan, yang juga dikenali sebagai Perjanjian BBNJ.
Penyerahan Instrumen Ratifikasi tersebut menandakan bermulanya komitmen rasmi NBD terhadap Perjanjian BBNJ dan akan membolehkan negara mengambil bahagian sepenuhnya dalam pelaksanaan perjanjian tersebut.
Duli Yang Teramat Mulia menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Kali Ke-19 The Global Governance Group (3GMM) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Perwakilan Tetap Republik Singapura ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu di New York.
DYTM semasa 3GMM Ke-19 dengan tema, ‘Building an AI-Ready Country’, bersabda menekankan potensi Kecerdasan Buatan (AI) dalam menyokong pembangunan, termasuk dalam meningkatkan produktiviti, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam, serta menekankan kepentingan AI sebagai satu alat penting bagi pembangunan yang perlu disertai dengan langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya.
Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-GCC, DYTM bersabda menekankan kepentingan menangani cabaran keselamatan serantau melalui diplomasi dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, di samping memperkukuhkan daya tahan ekonomi ASEAN-GCC melalui peningkatan kerjasama dalam keselamatan tenaga, perdagangan dan kepelbagaian rantaian bekalan.