BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JB BSB) melalui Seksyen Penguatkuasaan telah mengenakan denda kompaun ke atas seorang individu warga asing pada 8 Ogos 2026 berikutan kesalahan membuang sampah di tempat awam di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Individu berkenaan ialah Chung Yu Hua, dan telah dikenakan denda kompaun sebanyak BND300 di bawah Bab 12 (1)(e) Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) selepas didapati membuang puntung rokok di kawasan luar Pasar Ikan Gadong.
JB BSB ingin mengingatkan orang ramai, pihak syarikat, serta pemilik premis perniagaan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) sekiranya kebersihan alam sekitar tidak dijaga bersama.
Bagi kes yang sabit kesalahan, denda maksimum yang boleh dikenakan adalah sebanyak BND30,000, hukuman penjara tidak melebihi tempoh 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai, pihak syarikat, dan pemilik premis perniagaan adalah disarankan supaya tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan, atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap, cecair, mahupun sisa perniagaan di sebarang tempat awam.
Sebarang aduan atau perkongsian maklumat berhubung kesalahan kebersihan boleh disalurkan terus melalui Talian Hotline Seksyen Penguatkuasaan di +673 7291122.