Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
BEIJING, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Rabu, 23 September. - The 12th Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) Transportation Ministers’ Meeting (TMM12) telah diadakan di Beijing, Republik Rakyat China, pada 22 September 2026.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Liu Wei, dan dihadiri oleh Menteri-menteri Pengangkutan serta perwakilan dari ekonomi-ekonomi anggota APEC.
Dengan tema ‘Collaboration and Innovation: Shaping a Better Future for Transportation in the Asia-Pacific Region’, mesyuarat memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan di rantau Asia-Pasifik serta menggalakkan penggunaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) ke arah membangunkan sistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap dan berdaya tahan.
Perbincangan turut menekankan kepentingan meningkatkan kesalingoperasian (‘interoperability’), termasuk dalam bidang piawaian, aliran data, keselamatan algoritma dan perlindungan privasi bagi mendukung penerapan teknologi baharu dalam sektor pengangkutan.
Mesyuarat TMM12 telah menghasilkan Kenyataan Bersama yang, antara lainnya, menggalakkan usaha untuk memperkukuh kerjasama praktikal dalam sektor pengangkutan ke arah mewujudkan komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040, selaras dengan APEC Putrajaya Vision 2040.
Kenyataan Bersama berkenaan turut mengiktiraf peranan AI yang semakin meningkat dalam sektor pengangkutan dan menggalakkan ekonomi-ekonomi anggota untuk mempercepatkan inovasi secara selamat, termasuk dalam pengangkutan autonomi, serta memanfaatkan teknologi untuk sektor pengangkutan.
Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), penyertaan dalam mesyuarat tersebut menyediakan platform untuk bertukar pandangan dan pengalaman serta meneroka peluang kerjasama dengan ekonomi-ekonomi anggota APEC, khususnya dalam bidang perhubungan, keselamatan, pendigitalan dan AI.
Kerjasama ini berpotensi mendukung peningkatan kesalinghubungan pengangkutan serantau bagi memudah cara perdagangan, pelancongan serta pergerakan rakyat dan penduduk, di samping memanfaatkan teknologi yang bersesuaian untuk meningkatkan keselamatan, kecekapan dan penyampaian perkhidmatan ke arah sistem pengangkutan negara yang lebih bersepadu dan bersedia menghadapi perkembangan teknologi masa hadapan.
Delegasi NBD ke mesyuarat tersebut diketuai oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Delegasi turut disertai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Suhara Fadzali bin Haji Yusop, serta pegawai-pegawai kanan dari kementerian berkenaan.
APEC Transportation Ministers’ Meeting merupakan forum peringkat menteri bagi ekonomi-ekonomi anggota APEC untuk membincangkan hala tuju strategik serta memperkukuh kerjasama dalam sektor pengangkutan.