CSB raih tempat pertama Global Quantum Drill 2026

23 Sep 2026 - 11:38pm

Siaran Akhbar dan Foto : Cyber Security Brunei

DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, Rabu, 23 September. - Cyber Security Brunei (CSB), yang mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) telah dianugerahkan tempat pertama dalam Global Quantum Drill 2026, yang berlangsung baru-baru ini di Dubai Exhibition Centre, Expo City Dubai, bersempena dengan GISEC Global 2026.

Pencapaian tersebut menyaksikan NBD muncul sebagai negara yang mencatat prestasi tertinggi daripada 81 buah negara yang mengambil bahagian dalam Global Quantum Drill. Sementara itu, Kazakhstan memperoleh tempat kedua, manakala Mesir menduduki tempat ketiga.

Mewakili NBD ialah Awang Isyrah Fahmi bin Osman, Awang Abdul Muqsit bin Haji Jafari dan Awang Muhammad Fakhriy Muazzam bin Haji Zamain dari CSB, yang telah menyertai latihan tersebut.

Anugerah Tempat Pertama telah disampaikan kepada Pasukan CSB oleh Ketua Keselamatan Siber Kerajaan UAE, Dr. Mohamed Al-Kuwaiti sebagai pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang mereka dalam Global Quantum Drill 2026.

Global Quantum Drill 2026 dianjurkan oleh International Telecommunication Union (ITU) dan dihoskan oleh UAE Cybersecurity Council. Latihan tersebut menghimpunkan para profesional keselamatan siber dan pasukan teknikal dari 81 buah negara di seluruh dunia bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran keselamatan siber yang muncul berkaitan dengan teknologi kuantum.

Latihan tersebut memberikan para peserta senario praktikal yang memberi tumpuan kepada potensi kesan pengkomputeran kuantum terhadap amalan keselamatan siber semasa, khususnya berkaitan dengan kriptografi pasca-kuantum (post-quantum cryptography) dan risiko yang berkaitan dengan teknologi kuantum.

Para peserta dikehendaki menyelesaikan pelbagai senario, termasuk ‘The Long Tail – Quantum Risk in the Incident Queue’, yang memberi tumpuan kepada tindak balas terhadap insiden berkaitan kuantum yang disimulasikan serta ‘Kill Two Birds with One Stone’, iaitu cabaran teknikal yang melibatkan mekanisme kriptografi pasca-kuantum dan pelaksanaannya.

Pencapaian ini memberikan peluang kepada CSB untuk terus memperkembangkan keupayaan NBD dalam bidang keselamatan siber, di samping memperkukuh penyertaan negara dalam inisiatif keselamatan siber di peringkat antarabangsa.

Pencapaian tersebut turut menekankan kepentingan dalam membangunkan kepakaran teknikal serta mengikuti perkembangan bidang keselamatan siber yang baharu muncul, khususnya ketika teknologi kuantum terus berkembang.

Kejayaan tersebut mencerminkan usaha berterusan CSB dalam memperkukuh keupayaan keselamatan siber negara serta mengharumkan nama NBD di persada antarabangsa.