Oleh: Rohani Haji Abdul Hamid
Foto: Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Jumaat, 4 September. - Ceramah Khas Agama bertajuk 'Akhlak, Barakah dan Literasi Kewangan' sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam diteruskan hari ini dengan menampilkan cendekiawan Islam terkenal antarabangsa, Profesor Dr. Haji Abdul Somad.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman yang juga selaku Pengerusi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Turut hadir, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah; Ahli-ahli Lembaga Pengarah BIBD; Ahli-ahli Badan Penasihat Syariah; pihak pengurusan kanan serta para pegawai dan kakitangan daripada seluruh Kumpulan BIBD.
Ceramah Khas Agama yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu mencerminkan komitmen berterusan bank berkenaan dalam membentuk tenaga kerja yang berpengetahuan serta berpandukan nilai-nilai murni dan prinsip Maqasid Syariah.
Prinsip Maqasid Syariah antara lain bertujuan untuk memelihara dan meningkatkan kesejahteraan individu, keluarga serta masyarakat. Menerusi ceramah berkenaan, para peserta turut diingatkan mengenai pentingnya mencontohi akhlak mulia dan etika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam setiap aspek kehidupan.
Ceramah juga menekankan kepentingan penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian, termasuk dalam membentuk peribadi, melaksanakan tanggungjawab serta menjalankan amanah secara berintegriti dan berhemah.
Program yang dianjurkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bersama rakan-rakan strategiknya dengan sokongan BIBD itu bermula pada Khamis, 3 September 2026, bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan dibukakan kepada orang ramai.
Sesi berkenaan memberikan peluang kepada para peserta untuk menghayati akhlak terpuji Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta memahami kepentingannya dalam menghadapi cabaran sosial dan ekonomi semasa.
Program tersebut turut menjadi wadah bagi masyarakat untuk memperkukuh kefahaman mengenai nilai-nilai Islam serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian, khususnya dalam pembentukan sahsiah dan pengurusan kewangan secara berhemah dan bertanggungjawab.
Perkongsian yang disampaikan turut menggalakkan setiap individu untuk memperkukuhkan keimanan, menjunjung nilai-nilai murni serta mengamalkan sikap berhemah dan berintegriti dalam pergaulan dengan orang lain.
Pada masa yang sama, para peserta diingatkan agar menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah, menjejaskan maruah dan nama baik seseorang, atau mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.