BruIPO, CNIPA meterai MoU kerjasama bidang harta intelek

29 Og 2026 - 5:34am

Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Peguam Negara

REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 28 Ogos. - Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO), Pejabat Peguam Negara dan Pentadbiran Harta Intelek Negara China (CNIPA) baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang harta intelek di mesyuarat sampingan sempena Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Kerjasama Harta Intelek (AWGIPC) Ke-79 yang berlangsung dari 24 hingga 28 Ogos 2026 di Republik Singapura.

Menandatangani MoU bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; manakala Pesuruhjaya CNIPA, Dr. Shen Changyu pula menandatangani bagi pihak CNIPA.

MoU berkenaan mewujudkan rangka kerja rasmi bagi memperkukuh kerjasama antara BruIPO dan CNIPA dalam beberapa bidang harta intelek, termasuk paten, reka bentuk perindustrian, tanda perniagaan dan petunjuk geografi.

MOU berkenaan juga menyediakan asas bagi kedua-dua pejabat untuk bertukar-tukar maklumat, pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik, serta melaksanakan aktiviti kerjasama yang dipersetujui bersama.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Peguam Negara menekankan kepentingan merealisasikan MoU berkenaan kepada kerjasama yang praktikal antara kedua-dua pejabat.

Yang Berhormat turut menyatakan penghargaan BruIPO kepada CNIPA atas sokongan berterusan dalam pembangunan kapasiti dan perkongsian pengetahuan, serta menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama melalui pertukaran teknikal, perkongsian amalan terbaik dan inisiatif-inisiatif lain, termasuk cadangan penganjuran bengkel mengenai Petunjuk Geografi di NBD pada 2027.

Yang Berhormat juga menyatakan bahawa penandatanganan MoU berkenaan berlangsung pada tahun yang menandakan ulang tahun ke-35 penubuhan hubungan diplomatik antara NBD dan Republik Rakyat China.

Turut ditekankan ialah mengenai hubungan persahabatan yang erat dan telah lama terjalin antara kedua-dua buah negara, yang berlandaskan rasa saling menghormati, kepercayaan dan kerjasama, serta menyatakan harapan agar kerjasama yang lebih erat dalam bidang harta intelek akan terus menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala yang kukuh.

Sementara dalam ucapan Pesuruhjaya CNIPA, beliau menyifatkan MoU berkenaan sebagai satu lembaran baharu dalam kerjasama antara CNIPA dan BruIPO. Dr. Shen Changyu mengiktiraf penyertaan aktif NBD dalam program-program harta intelek China-ASEAN dan Belt and Road serta menyatakan kesediaan CNIPA untuk mempertingkatkan dan mempergiatkan kerjasama yang lebih erat dan terarah melalui pembangunan kapasiti, program latihan dan pertukaran profesional yang melibatkan pakar-pakar paten dan tanda perniagaan CNIPA.

Pesuruhjaya CNIPA turut menekankan kepentingan untuk bersama-sama memajukan pembangunan harta intelek dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi para inovator di kedua-dua buah negara.

Penandatanganan MoU berkenaan menandakan satu lembaran baharu dalam hubungan institusi antara BruIPO dan CNIPA serta menyediakan asas bagi kerjasama yang lebih praktikal dan terarah.

Susulan penandatanganan berkenaan, kedua-dua pejabat akan meneruskan penglibatan bagi mengenal pasti aktiviti dan pengaturan yang bersesuaian untuk pelaksanaan MoU, dengan tujuan menyokong pembangunan harta intelek serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi para inovator dan perniagaan di kedua-dua buah negara.