Oleh : Khartini Hamir
Foto : Pg. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
JERUDONG, Rabu, 25 November. - Brunei Methanol Company Sdn. Bhd. (BMC) meraikan Ulang Tahun Penubuhan Ke-20 menerusi majlis sambutan yang bertemakan ‘20 Tahun Kemajuan : Memacu Masa Depan Industri Hiliran Brunei’ yang berlangsung petang tadi di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, di sini.
Sambutan berkenaan mencerminkan perjalanan dua dekad BMC dalam menjalin kerjasama, memajukan sektor perindustrian serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi Haji Mohd. Hanifah; dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka; Setiausaha Tetap (Tenaga, Huluan dan Hiliran) di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Hajah Adimasyaton binti Pengiran Haji Omar Ali; Pengerusi BMC, Masahiko Naito serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah BMC, pegawai-pegawai kanan kerajaan, rakan-rakan perniagaan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi BMC, Masahiko Naito mengimbas kembali aspirasi bersama yang menjadi asas kepada penubuhan BMC, iaitu untuk menjana nilai tambah daripada sumber gas asli negara, di samping mewujudkan nilai ekonomi dan perindustrian jangka panjang bagi NBD.
Beliau turut menekankan kepentingan dan kekuatan kerjasama antara NBD, Mitsubishi Gas Chemical Company (MGC) dan ITOCHU Corporation, serta keyakinan daripada institusi kewangan antarabangsa dalam merealisasikan visi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Jesús Enrique Mora Marín menekankan pengalaman operasi serta keupayaan yang telah dibangunkan oleh warga syarikat sepanjang dua dekad yang lalu.
Dalam melihat hala tuju syarikat pada masa hadapan, beliau menegaskan komitmen BMC untuk terus memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai, memperkukuh keupayaan tenaga kerja dan teknikal, meningkatkan kecekapan serta produktiviti, membina daya tahan serta menerapkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi dan proses membuat keputusan syarikat bagi menyokong pertumbuhan yang bertanggungjawab dan mampan.
Ucapan turut disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Abdurahman Abdul Aziz yang menyentuh mengenai sumbangan BMC terhadap ekonomi NBD serta pembangunan industri hiliran negara.
Mewakili para pemegang saham, Hideaki Akase daripada MGC turut mengiktiraf pencapaian BMC sepanjang dua dekad penubuhannya, di samping menghargai komitmen dan ketekunan yang menjadi pemangkin kepada kemajuan Syarikat.
Pada majlis berkenaan, tetamu-tetamu kehormat bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif BMC turut menyertai upacara memotong kek bagi menandakan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Penubuhan Syarikat.
Atur cara majlis turut diserikan dengan pembentangan khas oleh Ketua Pegawai Eksekutif Methanol Institute (Global Methanol Alliance), Alexander Döll, yang berkongsi pandangan mengenai perkembangan landskap industri metanol global serta hala tuju masa depan industri berkenaan.
Sambutan diteruskan pada sebelah malam dengan Majlis Makan Malam Gala Emerald BMC yang bertemakan ‘Celebrating 20 Years of Corporate Presence and Beyond’.
Majlis berkenaan menghimpunkan ahli-ahli lembaga pengarah, pihak pengurusan eksekutif serta warga kerja BMC dalam suasana penuh penghargaan dan kesyukuran bagi meraikan pencapaian syarikat sepanjang dua dekad penubuhannya.
Seiring dengan usaha melangkah ke arah masa depan selepas 20 tahun penubuhannya, BMC akan terus memberikan tumpuan kepada pelaksanaan operasi yang bertanggungjawab, memperkukuh keupayaan syarikat serta menjana nilai berkekalan demi menyokong perkembangan dan kemajuan industri hiliran NBD.