BFI lancarkan Laporan ESG Pertama, tingkatkan komitmen kelestarian

15 Nov 2026 - 5:24am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

JERUDONG, Sabtu, 14 November. - Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI) melancarkan Laporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pertamanya, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian syarikat serta komitmennya terhadap ketelusan, akauntabiliti dan pertumbuhan yang bertanggungjawab.

Majlis pelancaran berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, dan disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi BFI.

Turut hadir ialah Menteri-Menteri Kabinet, ahli-ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan BFI, wakil-wakil kerajaan, pihak berkepentingan serta para jemputan.

Laporan ESG pertama berkenaan menghimpunkan pelbagai usaha BFI dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus, selain memberikan gambaran menyeluruh mengenai penerapan amalan kelestarian dalam operasi serta hala tuju jangka panjang syarikat.

Sebagai antara industri hiliran utama negara dan pengeluar urea berbutir bagi pasaran antarabangsa, BFI memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pertanian dan keselamatan makanan global.

Laporan tersebut turut menggariskan tanggungjawab syarikat dalam mengendalikan industri intensif tenaga yang sukar mengurangkan pelepasan karbon, termasuk usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurus impak terhadap alam sekitar dan meneroka peluang ke arah operasi rendah karbon.

Antara bidang utama yang diketengahkan dalam laporan berkenaan ialah kesihatan dan keselamatan, pengurusan alam sekitar, kebolehpercayaan operasi, pembangunan pekerja dan pengambilan tenaga kerja tempatan, penglibatan masyarakat, tadbir urus serta penambahbaikan berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif BFI, Dr. Harri Kiiski, menekankan bahawa perjalanan kelestarian syarikat berteraskan operasi yang selamat dan boleh dipercayai.

Beliau turut memaklumkan bahawa ketika laporan ESG pertama itu disediakan, BFI menghampiri pencapaian enam juta jam bekerja dengan selamat, mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat di samping terus membekalkan produk baja berkualiti kepada para pelanggan.

Menurutnya, laporan berkenaan turut mencerminkan komitmen seluruh warga kerja BFI terhadap kelestarian, memandangkan ia disediakan oleh tenaga kerja syarikat sendiri.

Komitmen tersebut juga diperkukuh melalui kejayaan 14 orang pekerja BFI menamatkan pengajian di Sustainable Fertilizer Academy anjuran International Fertilizer Association (IFA), sekali gus meningkatkan pengetahuan dan keupayaan dalaman syarikat dalam mengenal pasti peluang ke arah operasi yang lebih mampan.

Pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BFI, Dayang Hajah Nur Raihan binti Dato Paduka Haji Mohd. Rosli, turut menyampaikan taklimat mengenai rasional pelaksanaan perjalanan ESG syarikat, perkembangan serta usaha yang dilaksanakan sehingga penerbitan laporan pertama berkenaan, selain hala tuju BFI ke arah masa depan yang lebih mampan.

Usaha kelestarian BFI turut disokong oleh sistem pengurusan dan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk pensijilan ISO 9001 bagi Pengurusan Kualiti, ISO 14001 bagi Pengurusan Alam Sekitar dan ISO 45001 bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, selain pensijilan IFA Protect & Sustain serta anugerah IFA Product Stewardship Excellence.

Pelancaran laporan ESG pertama itu menjadi permulaan kepada pendekatan yang lebih tersusun dalam melaporkan prestasi dan kemajuan kelestarian syarikat, di samping memperkukuh komitmen BFI dalam mewujudkan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan, menyokong pembangunan mampan negara dan menyumbang kepada keselamatan makanan global.