Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Jumaat, 4 September. - Pusat Perubatan Jerudong Park (Jerudong Park Medical Centre-JPMC), melalui Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah (Ibadah Friendly Hospital-IFH) dengan kerjasama Gleneagles JPMC, pagi tadi mengadakan Ceramah Khas bersempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah.
Majlis berkenaan menghimpunkan pihak pengurusan, para jemputan, serta pegawai dan kakitangan JPMC dan Gleneagles JPMC dalam satu pertemuan bermakna bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis berkenaan dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku Pengerusi Lembaga Eksekutif JPMC, sebagai tetamu kehormat majlis.
Ceramah yang bertajuk 'Dari Sirah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam Ke Budaya Kerja' telah disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Mohammad Nasyith bin Superi.
Ceramah berkenaan antara lain mengingatkan kita tentang pengajaran yang diambil daripada kehidupan dan ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaitannya dalam memupuk nilai-nilai murni dan amalan positif di tempat kerja.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan dikir oleh Ahli-ahli Jawatankuasa IFH.
Perhimpunan berkenaan memberi peluang kepada warga JPMC dan Gleneagles JPMC untuk bersama-sama menghayati sifat-sifat mulia dan ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memperkukuh lagi nilai kasih sayang, integriti, hormat-menghormati dan perpaduan dalam kehidupan peribadi serta profesional.