Berkenan berangkat ke Majlis Kemuncak JE Hubungan Pertahanan NBD-Republik Singapura

11 Okt 2026 - 5:39am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas

MUARA, Sabtu, 10 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat bercemar duli bersama Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, ke Majlis Kemuncak sempena Sambutan Jubli Emas (JE) Hubungan Pertahanan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Muara.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan ahli-ahli kerabat diraja di Helipad Pangkalan TLDB dijunjung oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Pemerintah TLDB.

Turut hadir semasa Majlis Kemuncak sempena Sambutan JE Hubungan Pertahanan NBD dan Republik Singapura berkenaan, Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing; Menteri Negara di Kementerian Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Tuan Yang Terutama Zhulkarnain Abdul Rahim; dan Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Tuan Yang Terutama Laksamana Madya Dato Paduka Seri Aaron Beng.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM dan ahli-ahli kerabat diraja dijunjung ke Bilik Khas di Mes Pegawai Waran, Bintara Kanan dan Bintara TLDB untuk menyertai TYT Perdana Menteri Republik Singapura dan delegasi Republik Singapura.

Kebawah DYMM seterusnya berangkat bersama TYT Perdana Menteri Republik Singapura berserta ahli-ahli kerabat diraja dan delegasi Republik Singapura ke Padang Kawad TLDB bagi menyaksikan Perbarisan Gabungan (Joint Parade), yang merupakan acara kemuncak Sambutan JE Hubungan Pertahanan NBD dan Republik Singapura bagi memperingati lima dekad hubungan pertahanan yang erat antara NBD dan Republik Singapura.

Kebawah DYMM kemudiannya berkenan berangkat ke Pentas Diraja untuk menerima Tabik Hormat Diraja selepas TYT Perdana Menteri Republik Singapura menerima Tabik Hormat Perdana Menteri.

Baginda kemudiannya berangkat bersama TYT Perdana Menteri Republik Singapura bagi memeriksa Perbarisan Gabungan yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Leftenan Kolonel Mohammad Sufrien bin Johan, selaku Pemerintah Perbarisan; dengan Pegawai Waran II, Sng Ping Yi dari SAF selaku Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Perbarisan.

Perbarisan berkenaan melibatkan seramai 252 anggota ABDB dan SAF terdiri dari TDDB, Tentera Darat Republik Singapura, TLDB, Tentera Laut Republik Singapura (RSN), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), termasuk Gabungan Pancaragam ABDB dan SAF.

Perbarisan gabungan berkenaan turut diserikan dengan pertunjukan aset ABDB dan SAF yang mencerminkan persahabatan yang sekian lama terjalin, kerjasama erat dan hubungan pertahanan yang kukuh antara kedua-dua buah negara sepanjang lima dekad.

Perbarisan diteruskan dengan berjalan lalu dalam masa cepat dan seterusnya mara ke hadapan untuk diperhati semula. Kebawah DYMM kemudiannya berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan JE Hubungan Pertahanan NBD dan Republik Singapura berkenaan, yang disusuli dengan tiga kali laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik'.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.

Kebawah DYMM serta TYT Perdana Menteri Republik Singapura seterusnya bersama-sama menerima Tabik Hormat Diraja di Pentas Diraja, dengan Lagu Kebangsaan NBD dan Republik Singapura dimainkan secara berurutan.

Majlis disusuli dengan pelayaran lalu kapal-kapal TLDB KDB DARUSSALAM dan KDB AL-FARUQ serta TLRS MSRV PROTECTOR diikuti dengan terbang lalu lima buah helikopter yang terdiri daripada S-70i Black Hawk TUDB serta H225 RSAF.

Kebawah DYMM berangkat bersama TYT Perdana Menteri Republik Singapura serta ahli-ahli kerabat diraja ke Mes Pegawai Waran, Bintara Kanan dan Bintara TLDB bagi pelancaran Brunei Darussalam and Republic of Singapore Defence Relations Golden Jubilee Gallery.

Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan menerima Buku Kenangan dan Syiling Kenangan diikuti dengan penyampaian kepada TYT Perdana Menteri Republik Singapura.  

Kebawah DYMM seterusnya dijunjung berangkat ke Mes Pegawai TLDB bersama TYT Perdana Menteri Republik Singapura serta ahli-ahli kerabat diraja. Baginda bersama TYT Perdana Menteri Republik Singapura menyempurnakan Majlis Memotong Kek sempena Sambutan JE Hubungan Pertahanan NBD dan Republik Singapura.

Majlis juga menyaksikan Kebawah DYMM berkenan menerima pesambah, diikuti dengan penyampaian cenderamata kepada TYT Perdana Menteri Republik Singapura, sebelum diakhiri dengan Majlis Santap Tengah Hari Diraja.

Sebelum berangkat meninggalkan majilis, Kebawah DYMM berkenan bagi disembahkenalkan kepada anggota Pancaragam Gabungan ABDB dan SAF bersama TYT Perdana Menteri Republik Singapura yang juga diikuti dengan junjung ziarah bersama warga ABDB dan SAF yang terlibat dalam Perbarisan Gabungan.

Kebawah DYMM juga berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan, manakala TYT Perdana Menteri Republik Singapura pula menandatangani Lembaran Kenangan, sebelum majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.