Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BERAKAS, Rabu, 9 September. - Pasukan DPMM FC kalah tipis 2 - 3 ke atas Terengganu FC dalam aksi timbal balik pertama pusingan 16 Piala FA Malaysia 2026-2027 yang berlangsung malam tadi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.
Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri di JPM; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Separuh masa pertama menyaksikan DPMM FC dengan bijak mengatur beberapa serangan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-11, apabila Jordan Murray melonjak tinggi untuk menanduk masuk dengan kemas, hasil hantaran lintang tepat pemain sayap kanan, Farris Izdiham.
Perlawanan seterusnya menyaksikan DPMM FC terus lagi mengawal permainan dan melakukan beberapa serangan, namun nasib lebih menyebelahi pasukan Terengganu FC apabila Ubaidullah Shamsul berjaya menyamakan jaringan pada minit ke-29.
Gol berkenaan adalah susulan daripada bola muntah yang diselamatkan oleh penjaga gawang DPMM FC dari sepakan penjuru yang dilakukan pasukan pelawat, bola tersebut jatuh tepat kepada Ubaidullah Shamsul dan seterusnya menjaringkan dari jarak dekat.
Selang beberapa minit kemudian, Jordan Murray sekali lagi beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut setelah menerima umpanan dari arah tengah dan seterusnya dengan tenang menjaringkan gol pada minit ke-40.
DPMM FC sekali lagi gagal melakukan pertahanan menerusi sepakan percuma dilakukan oleh Terengganu FC menemui Ubaidullah Shamsul pada minit ke-44 yang melakukan tandukan menewaskan penjaga gawang Brunei DPMM FC, Samuel Somerville.
Babak kedua perlawanan menyaksikan Terengganu FC lebih banyak mengawal permainan, melakukan beberapa serangan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-85 menerusi Romel Morales, setelah mendapat umpanan dari pemain sayap kanan, Daniel Amier Norhisham.
Perlawanan kekal 2 - 3 sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.
Perlawanan aksi timbal balik kedua seterusnya akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terangganu, pada minggu hadapan, 16 September 2026.