Siaran Akhbar dan Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam Sukan Asia Ke-20, 2026
NAGOYA, JEPUN, Rabu, 23 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ahli Kehormat Lembaga Eksekutif Olympic Council of Asia (OCA) dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), berkenan berangkat menghadiri majlis resepsi Komiti Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi sempena Hari Kebangsaan Ke-96 Arab Saudi, yang diadakan semasa berlangsungnya Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya Jepun 2026.
Resepsi tersebut telah berlangsung pada 23 September 2026, dari jam 1.00 hingga 3.00 petang, bertempat di Grand Ballroom, Tingkat 10, Conrad Nagoya.
Pada resepsi berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah telah disambut oleh His Highness Prince Fahad bin Jalawi Alsaud, Vice President of the Saudi Olympic and Paralympic Committee.
Majlis berkenaan merupakan satu majlis jemputan khas yang dihadiri oleh wakil-wakil National Olympic Committees (NOCs). Resepsi tersebut turut menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan persahabatan dan memperkukuh jaringan kerjasama antara komuniti Olimpik antarabangsa, khususnya dalam suasana temasya Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya Jepun 2026.
Kehadiran Duli Yang Teramat Mulia mencerminkan hubungan baik dan persahabatan yang terjalin antara Majlis Olimpik Kerajaan Brunei Darussalam dan Komiti Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi, serta komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan melalui sukan dan gerakan Olimpik antarabangsa.