Berangkat ke Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Asia Ke-20

20 Sep 2026 - 5:28am

Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Asia Ke-20, 2026

NAGOYA, JEPUN, Sabtu, 19 September. – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Olympic Council of Asia Honorary Executive Board Member dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026 (20th Asian Games Aichi-Nagoya 2026) yang berlangsung pada hari ini di Nagoya, Jepun.

Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026 pada kali ini disertai sebanyak 45 negara anggota Olympic Council of Asia (OCA) dan buat julung kalinya, OCA Refugee Team turut mengambil bahagian dalam temasya berkenaan.

Majlis dimulakan dengan ucapan Governor Aichi, diikuti ucapan Presiden OCA, sebelum Maharaja Jepun, Naruhito merasmikan pembukaan rasmi temasya.

Acara diteruskan dengan perbarisan masuk kontinjen dan bendera negara peserta, diikuti kemasukan bendera OCA serta upacara menaikkan bendera OCA.

Majlis turut diserikan lagi dengan lafaz ikrar atlet dan pegawai teknikal, serta persembahan kebudayaan Jepun yang mengetengahkan warisan dan identiti negara tuan rumah.

Kemuncak majlis ialah kemasukan obor Sukan Asia dan penyalaan kawah, menandakan bermulanya secara rasmi Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026.