Siaran Akhbar dan Foto : Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 23 September. - Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) hari ini memulakan Bengkel Latihan Storytelling bagi Jurupandu BKISHHB, yang diadakan secara ‘in-house’ bagi memperkukuhkan kemahiran komunikasi, penyampaian dan teknik penceritaan dalam kalangan pegawai serta Penyelaras-penyelaras Galeri BKISHHB.
Bengkel yang berlangsung selama enam hari secara keseluruhan ini dibahagikan kepada dua sesi kumpulan, dengan Kumpulan A mengikuti bengkel pada 23, 24 dan 26 September 2026, manakala Kumpulan B akan menyertai bengkel pada 28 hingga 30 September 2026.
Bagi sesi pertama, seramai 21 orang peserta daripada Kumpulan A menghadiri bengkel yang dikendalikan oleh Jimmy Leong, seorang Certified UNESCO Cultural Heritage Specialist Guide Trainer dan pakar dalam bidang ‘storytelling’ di Malaysia.
Bengkel tersebut diadakan di Bilik Kuliah dan Galeri Pameran 1 hingga 9, BKISHHB, dengan sesi pada hari pertama memberi tumpuan kepada pengenalan asas seni dan ilmu ‘storytelling’ serta kepentingannya sebagai satu kaedah komunikasi yang berkesan dalam penyampaian maklumat kepada para pengunjung.
Pada sesi sebelah pagi, peserta mengikuti ‘Lecture: Concept of Storytelling’, yang memberikan pendedahan mengenai konsep asas ‘storytelling’ serta bagaimana teknik penceritaan dapat digunakan dalam konteks interpretasi di persekitaran muzium dan galeri.
Sementara itu, sesi sebelah petang diteruskan dengan ‘Lecture: Storytelling Techniques’, yang memberi tumpuan kepada teknik-teknik penyampaian cerita secara lebih berkesan dan menarik.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan teknik penyampaian jurupandu BKISHHB agar lebih profesional dan berkesan, di samping memperkasakan teknik penceritaan dalam menyampaikan maklumat berkaitan koleksi dan galeri pameran.
Pendekatan ‘storytelling’ juga diharapkan dapat membantu para jurupandu menyampaikan kandungan pameran dengan cara yang lebih menarik, interaktif dan mudah difahami oleh pelbagai kategori pengunjung.
Selain itu, bengkel berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan keyakinan dan keterampilan pegawai serta Penyelaras-penyelaras Galeri ketika mengendalikan lawatan berpandu, seterusnya menyumbang kepada pengalaman pengunjung yang lebih bermakna dan berorientasikan ‘visitor experience’.
Sepanjang bengkel, peserta akan didedahkan kepada pelbagai aspek ‘storytelling’, termasuk pemahaman mengenai elemen yang menjadikan sesuatu cerita berkesan dalam persekitaran muzium, cara memilih dan menyampaikan cerita secara efektif, penggunaan ekspresi vokal serta kaedah menyampaikan nilai-nilai warisan dan perkongsian yang bermakna serta mudah diingati oleh para pengunjung.
Bengkel ini turut merangkumi sesi latihan praktikal dan simulasi lawatan berpandu di galeri pameran bagi membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan dan teknik ‘storytelling’ yang dipelajari dalam situasi sebenar.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen BKISHHB dalam memperkukuhkan kompetensi sumber manusia, khususnya dalam aspek penyampaian interpretasi dan pengalaman lawatan, selaras dengan peranan BKISHHB sebagai sebuah institusi yang memelihara, mempamerkan dan memperkenalkan khazanah warisan ilmu Islam kepada orang ramai.