Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TEMBURONG, Selasa, 8 September. - Penyerahan sebuah bangunan kerajaan bagi kegunaan Persatuan Saudara Baharu Temburong (PESAT) bukan sekadar menyediakan ruang fizikal, malah menjadi wadah memperkasa kegiatan keagamaan, pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti saudara baharu di Daerah Temburong.
Perkara tersebut ditekankan oleh Ketua Kumpulan Temburong Empowerment through Resource, Activities and Sustainability (T.E.R.A.S), Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia, dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Penyerahan Anak Kunci Bangunan bagi kegunaan PESAT yang berlangsung di Pejabat Daerah Temburong, hari ini.
Menurut Awang Abdul Wafi, bagi pihak Kumpulan T.E.R.A.S., merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Daerah Temburong, Pegawai-pegawai Jabatan Daerah Temburong dan Pejabat Hal Ehwal Ugama Temburong, Pemangku Yang Dipertua PESAT, Ahli-ahli PESAT, para penaja serta semua pihak yang memberikan kerjasama sehingga hasrat mendapatkan bangunan berkenaan berjaya direalisasikan.
Awang Abdul Wafi Sia menyatakan, penyerahan anak kunci tersebut bukan sekadar penyerahan sebuah bangunan, tetapi merupakan langkah penting dalam menyediakan ruang yang lebih teratur dan kondusif bagi PESAT menjalankan urusan pentadbiran serta pelbagai kegiatan, termasuk keagamaan, pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan, latihan kemahiran dan pembangunan ahli.
“Bangunan ini diharapkan akan menjadi tempat yang dapat menyatukan Ahli-ahli PESAT, memperkukuh hubungan silaturahim dan meningkatkan keupayaan persatuan dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti saudara baharu di Daerah Temburong,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyediaan bangunan tersebut selaras dengan objektif penubuhan PESAT, khususnya dalam menyatupadukan saudara-saudara baharu, menggalakkan pembelajaran agama Islam, meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan ahli serta bekerjasama dalam perkara-perkara berkebajikan.
Justeru, beliau berharap bangunan berkenaan akan menjadi wadah untuk PESAT melaksanakan objektif penubuhannya secara lebih teratur, berkesinambungan dan memberi manfaat yang lebih luas kepada ahlinya.
Menurut Awang Abdul Wafi Sia, inisiatif berkenaan turut mencerminkan aspirasi negara dan nilai-nilai Islam yang menitikberatkan pembangunan insan, kesejahteraan masyarakat serta pemeliharaan agama, di samping mengoptimumkan penggunaan aset kerajaan sedia ada untuk manfaat masyarakat.
Beliau menjelaskan, Kumpulan T.E.R.A.S. bersyukur kerana berpeluang menjadi pemudah cara melalui Projek T.E.R.A.S., iaitu Community Outreach Project di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kohort Ke-37.
Walaupun pelaksanaannya melalui beberapa siri perbincangan, lawatan dan penyelarasan, komitmen serta kerjasama pelbagai pihak akhirnya berjaya merealisasikan hasrat tersebut.
“Bagi kami, kejayaan Projek T.E.R.A.S. bukan hanya terletak pada penyerahan kunci pada hari ini, tetapi pada bagaimana ruang ini akan terus dihidupkan dan dimanfaatkan oleh PESAT selepas projek ini berakhir,” katanya.
Beliau menambah, Kumpulan T.E.R.A.S. hanyalah bertindak sebagai pemudah cara, manakala PESAT dan komuniti saudara baharu Temburong merupakan pihak yang akan meneruskan usaha serta memberikan makna sebenar kepada bangunan berkenaan.
Sementara itu, anak kunci bangunan disampaikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar kepada Pemangku Yang Dipertua PESAT, Dayang Nurul ‘Ain binti Mohd. Redzuan.
Inisiatif berkenaan direalisasikan melalui Projek T.E.R.A.S., sebuah projek kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh peserta EDPMMO Kohort 37 di bawah Institut Perkhidmatan Awam dengan kerjasama PESAT dan Jabatan Daerah Temburong.
Dengan adanya ruang khusus tersebut, PESAT diharap dapat memperluas penglibatan ahlinya melalui kelas-kelas keagamaan dan pembelajaran, aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, pembangunan kemahiran serta mesyuarat dan program persatuan.
Aspek kemampanan turut diberikan penekanan apabila bangunan berkenaan dirancang untuk terus dimanfaatkan dan diuruskan oleh PESAT selepas berakhirnya penglibatan langsung Kumpulan T.E.R.A.S.
Sebagai langkah susulan, Kumpulan T.E.R.A.S. bersama PESAT dan rakan-rakan projek akan melaksanakan aktiviti memucang-mucang bagi membersihkan dan menyediakan bangunan tersebut sebelum digunakan sepenuhnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau; Pemangku Pengarah Pusat Da’wah Islamiah, Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut; pegawai-pegawai Jabatan Daerah Temburong; wakil-wakil PESAT serta Ahli-ahli Kumpulan T.E.R.A.S.