Bacaan Yaa Siin, Tahlil semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal

11 Sep 2026 - 6:54am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 September. - Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal tahun ini menjadi wadah untuk memperingati sejarah dan perkembangan pendidikan ugama formal di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang bermula pada 1956 dengan penubuhan sekolah-sekolah ugama.

Dalam tempoh tujuh dekad, pendidikan ugama formal terus berkembang dan menjadi antara tunjang penting dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Sehubungan itu, seramai 300  pegawai dan guru di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) petang tadi menghadiri Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil sempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, bertempat di  Kubah Makam Diraja, di sini.

Majlis berkenaan adalah khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.

Hadir, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Nazir Khas, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Hendra bin Haji Meraji, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah oleh Nazir Khas, JPI, KHEU, Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat. 

Acara kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan NBD.

Juga hadir, Setiausaha Tetap KHEU, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamsol bin Haji Omar; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin; serta pegawai- pegawai kanan dari KHEU.