APEC CCHE’26 fokus memajukan inovasi, kebolehpasaran graduan

3 Sep 2026 - 6:48am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan

BERAKAS, Rabu, 2 September. - Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad telah menghadiri persidangan kali ke-15 mengenai Kerjasama Dalam Pengajian Tinggi di Rantau Asia-Pasifik (APEC CCHE’26), yang diadakan secara hibrid, di Vladivostok, Persekutuan Rusia.

Diadakan bersempena dengan Forum Ekonomi Timur XI ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Sains dan Pengajian Tinggi Persekutuan Rusia dan Far Eastern Federal University dengan tema ‘Sinergi Inovasi dalam Pengajian Tinggi APEC’.

Persidangan tersebut berpandukan prinsip-prinsip Pelan Tindakan Strategi Pendidikan APEC 2016 -2030, dengan penekanan terhadap usaha mempertingkatkan inovasi serta memperkukuh keupayaan sistem pengajian tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan serantau yang mampan.

Persidangan tersebut menghimpunkan wakil-wakil peringkat tinggi daripada ekonomi-ekonomi APEC, termasuk menteri-menteri pendidikan dan sains, pemimpin universiti, pegawai-pegawai kerajaan serta wakil industri, bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang pengajian tinggi.

Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha menangani perubahan keperluan pasaran tenaga kerja dan perkembangan pesat teknologi baharu, di samping memajukan inovasi, kebolehpasaran graduan serta kompetensi yang selaras dengan keperluan industri.

Turut menghadiri persidangan secara dalam talian ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.